Penang FC Julang Piala Harapan 2023

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BATU KAWAN – Penang FC beraksi cemerlang untuk muncul juara Piala Harapan 2023 selepas menewaskan Selangor FC 2-1 di Stadium Negeri Batu Kawan di sini,malam tadi.

Mukhairi Ajmal selaku kapten pasukan meledak gol pertama skuad Gergasi Merah menerusi rembatan kencang menuju tepat ke arah gawang tuan rumah minit ke-25.

Penyerang import yang juga bekas pemain kebangsaan Lubnan, Soony Saad atau nama lengkapnya Hassan Ali Saad muncul wira pasukan apabila menjaringkan gol pertama Penang FC pada minit 75.

Selangor yang membariskan beberapa pemain kebangsaan seperti Faisal Halim, R Ruventhiran dan pertahanan, Ahmad Khuzaimie cuba menyekat kebangkitan Penang tetapi dinafikan penjaga gol, Syafiq Afifi Suhaimi.

Bagaimanapun, Sonny sekali lagi membuatkan skuad Gergasi Merah terkedu selepas sepakan sudutnya berjaya menghasilkan gol kedua skuad Harimau Kumbang pada minit ke-88.

Lebih manis pemain sayap pertahanan kelahiran Amerika Syarikat berusia 30 tahun itu turut dinobatkan sebagai penjaring terbanyak selepas mencetak tiga gol sepanjang aksi perlawanan Piala Harapan 2023 bermula Khamis lalu.

Seramai 5,292 penonton hadir menyaksikan perlawanan yang julung-julung kali diadakan membabitkan pertembungan anak buah Manzoor Azwira dan Tan Cheng Ho dalam aksi final perlawanan pramusim itu.

Kejohanan Piala Harapan 2023 yang dianjurkan Penang FC dengan format kalah mati itu mengumpulkan empat pasukan termasuk Kedah Darul Aman FC dan pasukan Singapura, Geylang International FC.

Terdahulu, Sang Kenari meraih tempat ketiga selepas menundukkan Geylang 2-1 dalam aksi petang tadi.

Sumber : BERITA HARIAN