Pengasuh didenda RM5,000 sebabkan lecur pada kaki budak

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Seorang pengasuh didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana menyebabkan kaki kiri seorang kanak-kanak perempuan melecur semasa menjaganya.

Hakim Izralizam Sanusi turut memerintahkan remaja berusia 20 tahun itu dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun dengan jaminan RM1,000 tanpa cagaran dan melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat selama 36 jam dalam tempoh enam bulan, bermula hari ini.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan sekiranya dia gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan telah mendedahkan kanak-kanak berumur setahun tujuh bulan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan melecur pada bahagian kaki kirinya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Brickfields di sini pada 10 pagi, 11 April 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Roslizi Sulaiman memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh memandangkan kesalahan itu serius kerana mangsa adalah kanak-kanak.

Peguam Azamuddin Abd Aziz yang mewakili tertuduh memohon hukuman berbentuk bon berkelakuan baik dan khidmat masyarakat dengan alasan anak guamnya telah menyesal atas perbuatannya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditangkap apabila pengadu iaitu ibu mangsa membuat laporan polis berikutan terdapat kesan lecur pada kaki kiri anaknya semasa mengambil kanak-kanak itu di rumah pengasuhnya.

Sumber: BERNAMA