SEGMEN TERKINI

MANIS XPRES

3pm - 7pm

Peniaga di Rantau Panjang kembali berniaga

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Beberapa peniaga di kawasan bebas cukai, Rantau Panjang mengambil peluang berniaga selepas jalan utama boleh dilalui susulan banjir mulai surut.

Tinjauan petang semalam, mendapati laluan masuk melalui pintu satu Pusat Pemeriksaan Jabatan Kastam sudah boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan walaupun jalan masih dilimpahi air. 

Namun pintu dua dan tiga masih ditutup berikutan paras air yang masih tinggi.

Malah, kenderaan dilihat keluar masuk ke pekan terbabit dan dipercayai orang ramai yang mahu melihat sendiri keadaan pekan itu selepas digenangi banjir, sekali gus memberi peluang kepada peniaga untuk mencari rezeki

Salah seorang peniaga, Siti Halimah Mohamad, 40, berkata, pada awalnya dia datang melihat gerai menjual kekacang miliknya selepas dikhabarkan air surut di pekan itu, namun kemudian mengambil keputusan berniaga selepas melihat kenderaan keluar masuk.

“Malah, beberapa peniaga lain terutama yang menjual makanan seperti buahan, sate ikan, minuman dan aiskrim turut membuka gerai kira-kira 11 pagi

“Alhamdulillah, pelanggan tetap ada walaupun tidak seramai hari biasa dan kebanyakan pengunjung ini bukan sahaja penduduk tempatan malah, dari jajahan lain seperti Tanah Merah dan Kota Bharu.

“Selepas tiga hari terpaksa ‘berehat’ akibat bah yang melanda, saya bersyukur kerana dapat kembali berniaga memandangkan hanya ini sahaja cara untuk mendapatkan wang bagi menampung kehidupan seharian,” katanya.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakatjam 7 pagi, hari ini, paras air Sungai Golok mencatat bacaan 10.16 meter melebihi paras bahaya iaitu sembilan meter.

Sementara itu bagi, Fazilah Mohd Ghani, 29, dia mengakui, masih khuatir jika banjir boleh melanda lagi susulan cuaca yang tidak menentu selain masih banyak tempat yang digenangi air seperti berlaku banjir termenung.

“Saya dan rakan peniaga yang lain cukup terkesan kerana beberapa kali pekan ini bagaikan ‘mati seketika’, bukan sahaja akibat banjir yang melanda beberapa kali, tetapi turut terkesan apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan sebelum ini.

“Bagaimanapun, kami reda kerana fenomena banjir berlaku hampir setiap tahun di sini, dan pendemik Covid-19 pula bukan suatu yang kita jangkakan. Jadi, selagi ada peluang berniaga, kami membuka gerai demi sesuap nasi,” katanya yang turut dibantu suami, Muhafiz Muhamed, 29.

Semalam, hanya 40 peratus sahaja peniaga yang membuka gerai, selain turut kelihatan pemilik premis membersihkan kedai mereka selepas dimasuki air akibat banjir.

Sumber : Metro

Terkini | Popular