Peniaga Dipenjara 3 Tahun, Penyebab Budak Positif Dadah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Seorang peniaga dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan mendedahkan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dengan dadah jenis methamphetamine dan heroin di tepi sungai Kampung Sri Jaya, Kuala Krai, 18 Jun lalu.

Mohd Shahrizuan Alias, 32, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan, mendedahkan mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) kepada sesuatu yang membahayakan tubuh badan iaitu dadah berbahaya jenis methamphetamine dan heroin sehingga menyebabkan mangsa mengalami ‘drug toxicity’.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Wan Nurul Hanini memohon hukuman setimpal dikenakan mengambil kira kesalahan tertuduh yang mendedahkan mangsa kepada perkara berbahaya, selain mangsa juga OKU.

Mohd Shahrizuan pula memohon hukuman ringan dikenakan memandangkan perlu menyara keluarga dan mempunyai dua anak kecil.

Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara tiga tahun dari tarikh ditangkap dan bon berkelakuan baik dengan cagaran RM3,000 serta seorang penjamin selama tiga tahun.

Manakala, kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun kini mengalami kritikal selepas terdapat kandungan dadah dalam badan dan kini sedang menerima rawatan di hospital.

Mangsa yang tinggal di Kampung Sri Bintang, Kuala Krai dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai jam 5 pagi oleh ibunya untuk rawatan sebelum pihak hospital melaporkan kepada polis.

Sumber: BERITA HARIAN