Peniaga, pekebun durian luar Raub perlu jalani ujian PCR

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Gambar Hiasan

Kuantan: Semua peniaga dan pekebun durian dari luar daerah yang ingin memasuki daerah Raub perlu menjalani ujian saringan Polymerase Chain Reaction (PCR) Covid-19.

Jabatan Pertanian Malaysia dalam satu kenyataan media hari ini berkata, ujian saringan PCR itu sekurang-kurangnya tiga hari sebelum perjalanan ke Raub.

Katanya, keputusan ujian saringan itu perlu dibawa untuk dikemukakan kepada pihak berkuasa di sekatan jalan raya (SJR) daerah Raub sebagai bukti.

“Arahan ujian itu susulan penularan wabak Covid-19 yang telah dikesan berlaku dalam kalangan peniaga dan pekebun durian di beberapa lokaliti di Raub.

“Sehubungan itu, bagi membendung penularan wabak ini, Yang Dipertua Majlis Daerah Raub melalui surat bertarikh 26 Julai 2021 kepada Pegawai Pertanian mengarahkan semua peniaga dan pekebun durian dari luar daerah yang ingin memasuki daerah ini perlu menjalani ujian saringan PCR,” menurut kenyataan itu.

Jabatan itu itu memaklumkan bahawa arahan itu berkuatkuasa serta merta dan semua pemegang Surat Pengesahan Keterlibatan Dalam Aktiviti Rantaian Pembekalan dan Pemasaran Berkaitan Keperluan Makanan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia perlu mematuhi arahan berkenaan.

“Perkara ini adalah sejajar dengan kuasa-kuasa yang diberikan kepada Majlis Daerah Raub berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 di bawah Seksyen 72(1)(f)(i).

“Sebarang pertanyaan, boleh menghubungi talian 09-3551267/013-9657293 pada waktu pejabat,” menurut kenyataan itu.

Sumber: My Metro