
KUALA TERENGGANU – Lelaki Islam di Terengganu yang culas menunaikan solat Jumaat bakal berdepan tindakan undang-undang walaupun hanya sekali meninggalkan kewajipan itu tanpa alasan munasabah.
Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, mereka yang melakukan kesalahan boleh dikenakan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda hingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
Menurutnya, perkara itu selaras dengan pindaan Enakmen Jenayah Syariah (Takzir) 2016 yang kini berkuat kuasa selepas digubal beberapa tahun lalu.
“Sebelum pindaan dibuat, hanya mereka yang tidak tunai solat Jumaat tiga kali berturut-turut boleh dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa agama.
“Dengan pindaan ini, tidak hadir sekali pun sudah boleh dikenakan tindakan. Peringatan ini penting kerana solat Jumaat bukan sekadar syiar tetapi juga lambang ketaatan umat Islam,” katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Jelas beliau, seksyen berkaitan kesalahan meninggalkan solat Jumaat mula digubal pada tahun 2001 sebelum dipinda pada 2016 yang memperuntukkan tindakan terhadap individu yang tidak hadir walaupun sekali.
“Hukuman hanya akan dikenakan sebagai jalan terakhir sekiranya peringatan tidak diendahkan oleh golongan yang culas menunaikan kewajipan tersebut.
“Pemasangan kain rentang peringatan di pekarangan masjid seluruh negeri bertujuan memberi amaran jelas mengenai kewajipan menunaikan solat Jumaat,” ujarnya.
Pada masa sama, katanya, peringatan itu juga bertujuan untuk menyedarkan orang ramai tentang undang-undang yang sedang berkuat kuasa di Terengganu.
“Umat Islam perlu melihat pelaksanaan undang-undang itu sebagai usaha mendidik dan menjaga martabat agama khususnya dalam membentuk kesedaran generasi muda.
Top of Form
Bottom of Form
“Tindakan penguatkuasaan boleh diambil melalui laporan orang awam atau menerusi rondaan serta operasi bersepadu pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bersama pihak berkuasa tempatan (PBT),” ujarnya.
Sumber : SINAR HARIAN





