Penyusutan sumber air tanah punca berlaku gangguan bekalan air – AKSB

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU, – Penyusutan sumber air tanah sebanyak empat juta liter sehari (JLH) menjadi punca berlakunya gangguan bekalan air membabitkan agihan Loji Rawatan Air (LRA) di Wakaf Bharu, di sini, sejak minggu lepas.

Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam satu kenyataan berkata pengeluaran air terawat dari LRA Wakaf Bharu telah menurun, dan mengakibatkan berlakunya gangguan bekalan air di kawasan tertentu terutamanya yang terletak di hujung sistem agihan LRA berkenaan.

Menurut kenyataan itu, bagi meningkatkan pengepaman air mentah, AKSB telah meningkatkan aktiviti penyelenggaraan telaga dengan tujuan meningkatkan kecekapan telaga. 

“Sepanjang tempoh gangguan, AKSB telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi mengurangkan impak kepada pelanggan AKSB dengan menempatkan tangki statik dan menghantar air menerusi lori. 

“Tangki statik ditempatkan di kawasan dikenal pasti, selain AKSB juga akan memastikan tangki statik berkenaan sentiasa mempunyai air untuk kegunaan pelanggan, dan pihak kami juga telah menghantar air melalui lori air kontrak (LAK) dan lori tangki air (tanker) AKSB ke tangki statik, termasuk kepada pelanggan AKSB yang berkenaan,” menurut kenyataan itu. 

Semalam sebuah media tempatan melaporkan lima jajahan atau separuh daripada negeri ini yang membabitkan kira-kira 200,000 penduduk berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual, dengan Tumpat menjadi kawasan paling kritikal apabila 15,334 akaun di situ terjejas sejak 24 Julai lepas, ekoran kerja-kerja kecemasan penyelenggaraan telaga tiub di LRA Wakaf Bharu yang dijangka selesai dalam tempoh sebulan.

Sementara itu, dalam kenyataan sama AKSB menyebut bahawa gangguan bekalan air membabitkan kawasan perumahan Taman Sri Machang pada Khamis lepas (22 Julai) berpunca dari pemberhentian pam air mentah di medan telaga akibat terputusnya bekalan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurut kenyataan itu, berlaku kekurangan pengeluaran air terawat yang telah menyebabkan kurangnya takungan air di Tangki Utama di LRA Merbau Chondong, Tangki Kubah dan Tangki Machang.

“LRA Merbau Chondong membekalkan air terawat ke Jajahan Machang, Jajahan Pasir Puteh dan kawasan Kota Bharu Selatan. Ia mengambil masa untuk keadaan pulih sepenuhnya selepas bekalan elektrik TNB disambung balik.

Menurut kenyatan itu lagi, bagi penyelesaian jangka masa pendek, AKSB telah menghantar air melalui lori tangki ke kawasan yang terkesan, dan bekalan air terawat mula stabil pada malam Isnin (26 Julai) dan semakin pulih.

“Insya-Allah persekitaran akan kembali normal dalam masa terdekat. AKSB juga memohon maaf diatas gangguan dan kesulitan kepada semua pelanggan AKSB yang terlibat dan usaha-usaha telah dibuat untuk menangani masalah luar jangka di masa akan datang,”menurut kenyataan itu.

SUMBER: Bernama