Perak Fa Dapat Restu Mb Perak Sertai Liga A1

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) kini sah mendaftarkan pasukan dinamakan Perak FA untuk beraksi dalam Liga A1 Semi Pro selepas mendapat restu dan sokongan penuh daripada Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Presiden PAFA, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, pengesahan itu dibuat susulan pertemuan rasmi bersama Saarani di Pejabat Menteri Besar Perak pada Selasa.

Menurutnya, dalam pertemuan lebih sejam itu, Saarani diberikan taklimat mengenai perancangan hala tuju baharu PAFA dalam usaha membina semula kekuatan bola sepak negeri.

“Antara yang dibincangkan termasuk penyertaan dalam Liga A1 Semi Pro sebagai fasa awal kebangkitan bola sepak Perak.

“Kami turut bentangkan perancangan pembangunan pasukan Sukma bawah kelolaan Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak serta perancangan semula skuad Piala Belia dan Piala Presiden 2026,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi pada Rabu.

Mohd Azhar berkata, pelbagai penganjuran liga akar umbi turut dirancang antaranya Liga Perak Sejahtera 2030, Liga Kelab Amatur Negeri, Liga Antara Agensi Kerajaan, Liga IPTA/IPTS Perak, Liga Darul Ridzuan Integrity Champion (DRIC) dan Liga Integriti Daerah bawah 17 tahun.

Tambah beliau, Saarani juga menyatakan sokongan terhadap langkah PAFA membina asas yang kukuh menerusi program pembangunan bakat anak jati negeri.

“Beliau berpesan agar kami kembali kepada asas bermula dari akar umbi dan fokus kepada pembangunan pemain muda.

“PAFA juga akan menyerap beberapa pemain senior dalam skuad Liga A1 bagi membimbing pemain muda, termasuk dari pasukan Sukma,” katanya.

Mohd Azhar berkata, dengan komitmen tinggi kerajaan negeri, PAFA yakin mampu mengorak langkah ke arah pemulihan dan masa depan bola sepak Perak yang lebih mampan dan berdaya saing.

Sumber : SINAR HARIAN