SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

Pesara guru diperdaya Macau Scam

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Pesara guru wanita kerugian sebanyak RM25,600 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang bertindak menyamar sebagai wakil syarikat insurans di Kuala Lumpur.

Mangsa yang berusia 65 tahun pada mulanya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘Omar Safari’.

Lelaki itu mendakwa sebagai wakil insuran dan mendakwa wanita itu mempunyai tuntutan insuran kemalangan sebanyak RM36,800.

Bagi menguatkan lagi dakwaan berkenaan, lelaki terbabit didakwa ‘menyambungkan’ panggilan ke Balai Polis Pudu, Selangor dan bercakap dengan seorang anggota polis.

Anggota berkenaan menyatakan bahawa kes mangsa turut membabitkan seorang lelaki dikenali sebagai Lim Lam Beng.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, ‘Omar’ kemudian menyambung panggilan kepada seorang lelaki didakwa inspektor polis yang menyatakan mangsa terbabit dengan kes pengumpulan wang haram sebanyak RM2.18 juta.

Katanya, mangsa yang bimbang dikenakan tindakan undang-undang diarahkan supaya membuat penukaran kad ATM dan meletakkan nombor telefon yang diberikan ke dalam kad baharu.

“Pada 24 September lalu, mangsa pergi ke Bank Rakyat di Temerloh dan membuat kad ATM dan nombor PIN yang baharu dan memasukkan nombor telefon yang diberikan.

“Selepas itu mangsa diarahkan supaya menghantar gambar kad ATM dan buku Tabung Haji yang tertera nombor akaun kepada wanita yang menyamar sebagai ‘Inspektor Mastura’ untuk tujuan siasatan.

“Mangsa mengikut semua arahan dan dimaklumkan siasatan akan mengambil masa seminggu,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa mendapati RM9,600 wang di dalam akaun Bank Rakyat miliknya dan RM16,000 dari akaun Tabung Haji miliknya, hilang.

Mohd Wazir berkata, wang berkenaan dipindahkan ke akaun milik dua individu.

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh.

Sumber: My Metro