
KUALA TERENGGANU: Seorang pesara awam maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori sedang berhenti di lorong kiri akibat tayar pecah, di Jambatan Sultan Mahmud di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata pihaknya menerima makluman pada jam jam 11.21 pagi berhubung kemalangan membabitkan motosikal jenis Yamaha 135 LC itu.
Katanya, insiden berlaku ketika motosikal ditunggang Mohd Riduan Saidi, 60, sedang dalam perjalanan dari arah rumahnya di Kampung Bukit Tunggal menghala ke Bandar Kuala Terengganu, manakala lori itu pula dari arah Gong Badak menuju ke Batu Buruk.
Hasil siasatan awal mendapati setiba di lokasi dua lorong sehala, beliau berkata, motosikal sedang bergerak lurus di lorong kiri itu merempuh lori sedang berhenti kerana tayar kiri bahagian hadapan kenderaan berat berkenaan pecah.
“Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber : BERITA HARIAN





