
KUALA KANGSAR : Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menyifatkan penganugerahan Pingat Pekerti Terpilih (PPT) sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah ke-69 sebagai suntikan semangat bagi terus melakar kejayaan pada masa hadapan.
Tang Jie berkata penganugerahan pingat itu sebagai satu pengiktirafan kepada mereka sepanjang berkecimpung dalam arena sukan badminton negara hingga muncul juara dunia.
“Ya, kami rasa sangat bangga boleh terima anugerah ini dan ia sebagai satu pencetus semangat untuk lebih berjaya lagi.
“Dalam pada itu, kami juga bersyukur dengan pemberian pingat ini dan berterima kasih kepada tuanku (Sultan Nazrin),” katanya selepas menerima anugerah berkenaan di Istana Iskandariah di sini semalam.

Terdahulu, Sultan Nazrin berkenaan mengurniakan darjah kebesaran dan pingat negeri Perak kepada 205 penerima bersempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-69.
Dalam pada itu, Ee Wei berkata mereka kini dalam persiapan ke Terbuka Australia di Sydney dari 18 hingga 23 November ini.
“Pada masa ini, kami hanya fokus kepada kejohanan yang terdekat di Australia kerana Sukan Olimpik di Los Angeles agak jauh (tahun 2028) untuk kami menilai dan merancang mengenai keupayaan kami,” katanya.
Pada 31 Ogos lalu, gandingan negara itu melakar sejarah dengan menjuarai Kejohanan Dunia di Paris selepas mengalahkan beregu China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-15, 21-14 pada perlawanan akhir.
Sumber : BERITA HARIAN





