SEGMEN TERKINI

SEMANIS CINTA

8pm - 12am

Pintu taubat Allah SWT terbentang luas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Sebagai seorang hamba, kita tidak terlepas dari melakukan dosa dan kesalahan, namun ajaibnya rahmat Tuhan, sentiasa membuka ruang untuk hambanya kembali kepadanya walau segunung dosa telah dilakukan.

Ibn Manzur menyatakan maksud taubat ialah kembali kepada Allah daripada dosa, kembali kepada Allah sahaja atau kembali mentaati selepas melakukan dosa, atau memberi maksud kembali daripada dosa. (Lihat Lisan al-Arab, 2/61). Menurut Hamka dalam tafsir al-Azhar, yang memetik pendapat cendekiawan silam iaitu al-Kalbiy, menyatakan maksud taubat ialah menyesal dalam hati, meminta ampunan dengan lidah, berhenti disaat itu juga dari dosa tersebut dan meneguhkan azam tidak hendak mendekat ke sana lagi.

Bertaubat kepada Allah SWT menurut pandangan Islam adalah satu usaha wajib dilakukan setiap individu, usah risau pandangan Allah terhadap kita sang pendosa, kerana Allah sentiasa memaafkan hambanya.

Firman Allah SWT: “Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian dia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.” (Surah Toha, ayat 82)

Hukum Bertaubat Adalah Wajib

Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab Riyadh al-Salihin: “Para ulama berkata, bertaubat dari setiap dosa hukumnya adalah wajib. Jika maksiat (dosa) itu antara hamba dengan Allah SWT – yang tidak ada sangkut pautnya dengan hak manusia – maka syaratnya ada tiga:

  • Menjauhi dan meninggalkan maksiat
  • Menyesal kerana telah melakukan maksiat tersebut.
  • Berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama-lamanya.

Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubatnya tidak sah. Namun, sekiranya maksiat itu berkaitan dengan hak manusia yang lain, maka syaratnya ada empat. Iaitu ketiga-tiga syarat di atas (dan ditambah satu syarat lagi, iaitu) : Hendaklah dia meminta dibebaskan daripada hak orang yang dizaliminya. 

Jika berbentuk harta benda atau sejenisnya maka dia harus mengembalikannya (kepada orang yang diambil hartanya). Jika dalam bentuk tuduhan palsu atau seumpamanya, maka hendaklah dipulihkan namanya atau meminta maaf kepadanya. Jika ia berbentuk ghibah, maka harus minta dihalalkan. (Lihat Riyadh al-Salihin, hlm. 41-42)

Segera bertaubat apabila terdetik

Menurut Ibn al-Qayyim bersegera melakukan taubat dari dosa merupakan kewajipan yang mesti disegerakan dan tidak boleh ditangguhkan. Jika seseorang itu menangguhkan taubatnya, dia sebenarnya menambahkan dosa kerana penangguhan itu.

Firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah At-Tahrim, ayat 8)

Sabda Rasulullah SAW dalam satu hadis qudsi: “Telah berfirman Allah SWT: Wahai anak Adam! Setiap kali engkau memohon dan mengharap kepada-Ku, Aku tetap mengampunimu atas segala dosa yang engkau lakukan, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Andai kata dosa-dosamu sampai setinggi langit, kemudian engkau memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampuni. Wahai anak Adam! Andai kata engkau datang kepada-Ku dengan dosa sepenuh bumi, kemudian engkau menemui-Ku, sedang engkau tiada menyekutukan Aku dengan sesuatu pun, nescaya Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi pula.” (Riwayat Tirmizi)

Meskipun seseorang itu telah bertaubat, tidak bermakna ia terhenti sekadar di situ sahaja. Teruslah melazimi taubat untuk mencapai redha Allah dan agar ibadat kita diterimaNya. Jika kita bertaubat, elakkan menghukum orang lain yang belum bertaubat dan terus melakukan dosa. Teruskan berbuat baik kepada rakan-rakan yang masih bergelumang dosa dan doakan agar cahaya hidayah menerpa padanya. Bertaubat juga akan menuntut individu itu untuk terus memperbaiki hidupnya dan menyempurnakan amal ibadatnya.

Kesan Tidak Bertaubat Dan Terus Melakukan Dosa

satu hadis yang diriwayatkan daripada Nawwas bin Sam’an R.A, Nabi SAW bersabda:

الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَالإِثْمُ مَا حَاكَ فِى صَدْرِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ

Maksudnya“Kebaikan adalah dengan berakhlak yang mulia. Sedangkan dosa adalah sesuatu yang menggelisahkan hatimu. (Ketika dosa tersebut dilakukan), tentu engkau tidak suka hal itu nampak di tengah-tengah manusia.” Riwayat Muslim (2553)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan hadis daripada Abi Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا أَخْطَأَ خَطِيئَةً نُكِتَتْ فِي قَلْبِهِ نُكْتَةٌ ، فَإِنْ هُوَ نَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ وَتَابَ صَقَلَتْ قَلْبَهُ ، وَإِنْ عَادَ زِيدَ فِيهَا حَتَّى تَعْلُوَ قَلْبَهُ فَهُوَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَ اللَّهُ {كَلاَّ بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ}.

Maksudnya: Sesungguhnya hamba, apabila melakukan satu kesalahan atau dosa, akan ditulis pada hatinya satu titik hitam. Apabila dia meninggalkan dosa, beristighfar dan bertaubat, nescaya digilap hatinya.

Sesiapa yang melakukan dosa, hidupnya akan diselubungi kegelisahan kerana dirinya tidak mendapat redha dan keberkatan daripada tuhan. Setiap dosa yang dilakukan juga akan menambah titik hitam di hati dan akan terus menggelapkan hati. Bukan itu sahaja, mereka yang tidak bertaubat juga akan semakin susah untuk menerima kebenaran dan justeru semakin menjauhkan dirinya daripada cahaya agama berdasarkan kata-kata Ibn al-Qayyim “Jika hati sudah semakin gelap, maka amat sulit untuk mengenal petunjuk kebenaran.” (Lihat Madarij al-Salikin, 2/292)

Rujukan:

  1. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – IRSYAD AL-FATWA #251 : TAUBAT BERULANG-ULANG KALI (muftiwp.gov.my)
  2. JISED-2020-29-06-11.pdf
  3. 52_M.Yusoff_M.A_Othman_M.S_RT_Abdullah_Mohamad_N__Omar_S.H.S_Penerapan_Nilai_Taubat_Asas_Perubahan_bagi_Penagih_Dadah.pdf (unisza.edu.my)
  4. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – AL-KAFI #1081: MELAKUKAN DOSA, TETAPI HIDUP TENTERAM (muftiwp.gov.my)