PKPB Terengganu: Perluaskan kebenaran ibadat di masjid, surau

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Aktiviti keagamaan di semua masjid dan surau serta pembukaan pusat pengajian di negeri ini dibenarkan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Datuk Osman Muda berkata, aktiviti pengajian dan kelas agama serta penggunaan ruang dewan solat utama dan kawasan masjid untuk solat Jumaat adalah dibenarkan.

Menurutnya, majlis akad nikah di masjid dan surau turut dibenarkan dengan kapisiti tidak melebihi 20 orang.

“Turut dibenarkan beroperasi adalah semua madrasah, pondok, pusat tahfiz yang berada di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) berkuat kuasa Isnin ini,” katanya melalui satu kenyataan media.

Mengulas lanjut, Osman berkata, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin memperkenankan kebenaran aktiviti ibadat di masjid dan surau dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selepas mendapat pandangan Jabatan Kesihatan Negeri.

Bagaimanapun, Osman berkata, masjid dan surau serta pusat pengajian yang dikenakan arahan penutupan mengikut Seksyen 18 (1) (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak dibenarkan untuk melaksanakan aktiviti.

“Sultan Mizan turut mengingatkan jawatankuasa masjid dan surau, madrasah, pondok serta pusat tahfiz supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kesihatan dan Keselamatan, selain garis panduan dikeluarkan pihak berkuasa serta JHEAT,” katanya.

Sumber: My Metro