SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

PKZ Sasar Kutipan Zakat Cecah RM170 Juta

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Pusat Kutipan Zakat (PKZ) menyasarkan kutipan zakat di Pahang mampu mencecah sehingga RM170 juta menjelang penghujung Disember ini.
 
Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang, YH. Dato’ Halidan Md Daud berkata, sehingga kini jumlah kutipan zakat adalah sebanyak RM113.8 juta ringgit berbanding tahun lalu sebanyak RM106.4 juta.
 
“Kita ada peningkatan sebanyak 7 peratus, jadi jika dilihat kepada jumlah ini dan aktiviti kempen pada hujung tahun, InsyaAllah kita masih berada pada landasan yang betul untuk mencapai RM170 juta menjelang penghujung Disember ini.
 
“Target ini akan berjaya dicapai memandangkan masih banyak badan-badan korporat dan anak syarikat Kerajaan Negeri yang masih belum membuat bayaran zakat mereka,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serahan Zakat Perniagaan Badan Korporat di Bilik Seminar Pusat Kutipan Zakat, di Kuantan.
 
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), YH. Dato’ Ahmad Hairi Hussain.
 
Pada majlis itu, FGV Holdings Berhad telah menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM4,551,148.00, Pahang Skills Development Centre dengan RM100,000 manakala Rural Capital Berhad dengan jumlah RM63,959.00.
 
Sementara itu, YH. Dato’ Ahmad Hairi berkata, sehingga September 2021 pihak MUIP telah mengagihkan sebanyak RM126 juta bantuan termasuklah RM27 juta bantuan bagi mangsa COVID-19 di seluruh Pahang.
 
Bantuan ini juga lebih menyeluruh dengan adanya Program Dapur Zakat yang melibatkan semua masjid di Pahang yang terbuka kepada semua qariah di kawasan terbabit di mana pemberian bantuan adalah lebih mudah dan cepat.

Sumber: PAHANGMEDIA