SEGMEN TERKINI

MANIS MANIS PAGI

6am - 10am

Polis potong tali hantar barang di Sungai Golok

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Gambar Hiasan

Rantau Panjang: Penduduk di sempadan mengambil peluang menghantar barangan melalui rakit yang diikat pada tali untuk menyeberangi Sungai Golok termasuk golongan penyeludup yang turut menggunakan taktik sama bagi menjalankan kegiatan mereka.

Tinjauan mendapati penduduk terbabit menggunakan modus operandi dengan memberi upah serendah RM10 kepada individu yang ‘menjaga’ tali untuk memastikan barangan dikirim sampai ke tebing sungai di sebelah Thailand.

Seorang penduduk yang dikenali sebagai Mat, 54, berkata, aktiviti menghantar barang merentas sungai terbabit hanya dijalankan selama dua jam sehari iaitu kira-kira jam 10 hingga 12 malam.

“Barangan yang dikirim seperti makanan, ubat-ubatan atau duit diletakkan di atas rakit bersaiz kecil sebelum ditarik talinya oleh individu yang bersedia di tebing sungai.

“Jika ianya penting dan keadaan dilihat bebas daripada pihak berkuasa, barulah ‘penghantaran’ dilakukan pada waktu siang.

“Sejujurnya memang ada segelintir penyeludup yang turut menggunakan taktik sama tetapi di lokasi yang sukar dikesan agar aktiviti mereka tidak dijejaki.

“Kebanyakan yang menggunakan khidmat rakit bertali ini tahu bahawa ia suatu kesalahan, namun kami tiada pilihan lain susulan tidak boleh merentas ke Thailand selepas Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, pihaknya sudah memotong kesemua tali yang dipasang di tiga pangkalan haram merentasi Sungai Golok membabitkan pangkalan Syed Agil, Che Kassim dan Jambu.

Katanya, pemotongan tali itu dilakukan sebagai langkah untuk mengekang aktiviti penyeludupan barangan kontraban dan kemasukan individu secara haram ke negara ini.

“Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga kawasan pangkalan haram itu dipasang tali nilon dan unjang sepanjang 20 hingga 30 meter yang merentasi Sungai Golok.

“Kita memahami situasi penduduk setempat yang sudah lama tidak bertemu saudara mara di Thailand, namun situasi sekarang tidak mengizinkankan selain tidak mahu sesetengah pihak mengambil peluang melakukan penyeludupan barang terlarang,” katanya.

Sumber: My Metro