Populasi penyu di Terengganu hanya tinggal 2 spesis

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Oleh Najmi Mamat

KEMAMAN, 8 Ogos 2019 – Kepupusan penyu adalah nyata serius berikutan hanya tinggal dua spesis sahaja yang masih tinggal, ditemui di perairan Terengganu.

Menurut Pegawai Konservasi Marin, Program Marin, Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia, Noor Azariyah Mohtar,  daripada empat spesis pada asalnya, dua spesis tersebut ialah penyu jenis agar dan karah. 

“Kita rasakan sangat penting bagi generasi muda untuk memperjuangkan nasib penyu melalui pendekatan bahawa jangan beli dan makan telur penyu dan jaga alam sekitar,” kata Noor Azariyah selepas ditemui dalam program Terengganu Turtle Camp 2019 anjuran WWF Malaysia dan Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) di Pusat Santuari Penyu Ma’ Daerah di Kertih, Chukai, semalam.

Dalam program tiga hari dua malam itu, seramai 40 orang pelajar sekolah menengah dari seluruh negeri Terengganu terlibat, bermatlamatkan memberi pendedahan tentang kepentingan memulihara haiwan spesis terancam termasuk penyu selain mengenali ilmu sains dan alam sekitar.

[Penyu Agar] Daripada 1000 ekor anak penyu yang ditetas, hanya seekor yang dianggarkan akan hidup sehingga dewasa.
Program tahunan kali kelima itu bermula pada 6 Ogos lalu dan merupakan anjuran bersama Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT).

Mengulas lanjut mengenai kem itu, Pegawai Tadbir Program Penggalakkan Sains Inovasi, Tuan Azmi Tuan Sidek berkata, selain kepentingan memelihara penyu, pendedahan mengenai kepentingan hutan paya bakau turut diterapkan.

Pelajar bersama guru pengiring bersedia untuk sesi menanam pokok di MNS Eco Care.

“Seperti kita tahu, hutan paya bakau sekarang ini telah pun banyak diteroka untuk tujuan projek pembangunan dan tanpa sedar ia telah mengganggu ekosistem seperti pembiakan ikan dan untuk perlindungan kawasan pantai,” katanya.

Sekumpulan pelajar mendengar penjelasan tentang teknik penetasan dan hatchery terhadap anak penyu.

Tuan Azmi berkata pihak PSKT dan WWF Malaysia merancang untuk meluaskan modul kem itu dengan penglibatan oleh sekolah-sekolah dari negeri lain.

Sebanyak 68 ekor penyu spesis Agar dilepaskan ke laut di Pusat Santuari Penyu Kertih Kemaman dalam satu kem kesedaran, ‘Terengganu Turtle Camp’ yang di anjurkan oleh WWF Malaysia dengan kerjasama Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT). Kem ini difahamkan merupakan acara tahunan bertujuan untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan penyu dan alam sekitar di Terengganu yang menyasarkan 40 orang pelajar sekolah menengah. Fakta tambahan: Daripada 1000 ekor anak penyu yg ditetaskan, hanya seekor yang dianggarkan akan hidup sehingga dewasa.

Posted by Manisfm on Tuesday, August 6, 2019

 

Kajian Pencemaran Mikroplastik UMT Bantu Pemuliharaan Penyu

Dalam satu sesi ceramah, pensyarah Universiti Malaysia Terengganu dari Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Dr. Maisarah Jaafar berkongsi tentang kajian mikroplastik dan kesannya terhadap hidupan laut. Menurutnya, antara kajian terbaharu yang bakal di jalankan adalah mengenai kewujudan mikroplastik di dalam sarang penyu.

“Pada Oktober ini, jika tiada halangan, kami akan menjalankan kajian mengenai sarang penyu untuk menentukan samada wujud atau tidak mikroplastik di dalam sarang penyu di pantai Terengganu.

“Melalui pembacaan saya, jika mikroplastik wujud, ia akan meningkatkan suhu sarang dan akan mempengaruhi jantina penyu,” katanya.

Dr. Maisarah Jaafar dan Dr. Noorlin ketika ditemui selepas memberi ceramah mengenai kajian mikroplastik dan kesan terhadap hidupan laut.

Dalam pada itu, seorang lagi penceramah Dr Noorlin Mohamad yang juga wakil penyelidik dari Microplastic Research Interest Group (MRIG), berkata antara matlamat utama penubuhan kumpulan penyelidik itu adalah untuk menyumbang kepada bidang penyelidikan yang berkaitan dengan pencemaran mikroplastik termasuklah penentuan mikroplastik di sekitaran, pemuliharaan hidupan laut dan penyelesaian alternatif.

“Ia juga bertujuan untuk menyokong kempen hindari penggunaan plastik sekali guna seperti yang diseru oleh kerajaan,” tambah Noorlin ketika ditemui ManisFM.

Pelajar tekun mendengar ceramah yang disampaikan oleh dua orang pensyarah dari UMT.

Peranan Institusi Keluarga Dalam Menangani Isu Pencemaran Alam Sekitar

Bertanyakan tentang tahap kesedaran masyarakat terhadap pencemaran alam sekitar, Azariyah berkata sikap dan kesedaran ini boleh bermula daripada rumah.

“Ibu bapa haruslah tekankan kepada anak-anak tentang kepentingan menjaga kebersihan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar bermula dari perkara paling asas seperti tidak membuang sampah merata-rata,” katanya.

“Saya harap kita sedar bahawa kita yang bertanggungjawab atas apa yang berlaku di sekeliling kita,” jelas Azariyah.

Noor Azariyah dan Tuan Azmi ketika ditemui pemberita berkongsi pandangan mengenai program berbentuk pendididikan bagi menyemai perasaan cinta akan alam sekitar dalam kalangan generasi muda.

Tuan Azmi turut berharap agar program ini sedikit sebanyak dapat memberi pendedahan kepada pelajar sekolah  selain menjadi agen perubahan untuk disampaikan kepada rakan-rakan mereka di sekolah.  ***