Prestasi Hamilton Sangat Mengecewakan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

London: Bekas pelumba Formula Satu (F1), Johnny Herbert menyifatkan prestasi hambar Lewis Hamilton sepanjang musim 2025 sebagai sesuatu yang sangat mengecewakan untuk disaksikan.

Hamilton masih belum berjaya menaiki podium sejak menyertai Ferrari pada awal musim ini.

Sebaliknya, rakan sepasukannya, Charles Leclerc sudah mengumpul tujuh penamat tiga teratas, termasuk dua podium berturut-turut di Austin dan Mexico City.

Satu-satunya diraih juara dunia tujuh kali itu hanyalah ketika di China, apabila beliau memenangi perlumbaan pecut bermula dari petak utama.

Walaupun masih belum meraih podium, Hamilton menunjukkan peningkatan sejak beberapa perlumbaan terakhir apabila jurang prestasinya dengan Leclerc semakin kecil, namun dia terus bergelut untuk menampilkan prestasi terbaik pada perlumbaan utama.

Hamilton sebenarnya berpeluang menamatkan perlumbaan di Mexico di kedudukan podium, namun dikenakan penalti masa 10 saat selepas didapati memotong di selekoh dan mendapat kelebihan ketika bersaing dengan Max Verstappen.

Bercakap kepada AdventureGamers, Herbert mempersoalkan kemampuan Hamilton untuk mengekalkan prestasi konsisten sepanjang hujung minggu perlumbaan.

“Ia seperti kisah berulang untuknya, sedangkan Charles kekal konsisten dan terus menunaikan tanggungjawabnya. Lewis ada menyebut dia kini lebih selesa dengan kereta itu.

“Jadi kita lihat sama ada ada peningkatan dalam baki perlumbaan musim ini. Pasukan tentu mahukannya, dan semua peminat Lewis juga pasti berharap begitu. Tapi setakat ini, ia masih belum menjadi kenyataan,” katanya.

Sumber: Harian Metro