SEGMEN TERKINI

SEMANIS CINTA

8pm - 12am

Projek ternakan ayam bakal ubah nasib bapa OKU

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BACHOK – Seorang bapa kudung kedua-dua kaki akibat digilis kereta api antara sembilan orang kurang upaya (OKU) yang dibela nasib oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerusi projek ternakan ayam kampung kacuk ayam daging di Kampung Aur Telong di sini.

Peserta bertuah itu, Sulaiman Setapa, 61, berdaftar dengan Pusat Pemulihan Orang Kurang Upaya (PROKA) menyertai projek diberi nama Inspek Jiwa Asnaf 2021 selama setahun bermula bulan lalu sehingga Februari 2022.

Kata bapa empat anak itu, dia teruja kerana terpilih sebagai peserta selepas lama ‘menderita’ akibat kedua-dua kaki dipotong kerana kejadian ngeri terjatuh dan digilis kereta api pada 1978.

“Memelihara ayam membuatkan saya berasa lebih gembira dan bersemangat untuk meneruskan kehidupan.
“Saya anggapnya sebagai rahmat kerana akan memperoleh hasil ternakan ayam nanti selain upah membuat perabot di PROKA,” katanya selepas majlis perasmian projek itu di PROKA di Kampung Aur Telong, di sini pada Selasa.

Sulaiman (kanan) yang menerima bekas makanan ayam disampaikan Rohani sebagai simbolik diterima sebagai peserta projek ternakan ayam kacuk ayam daging di Kampung Aur Telong, Bachok pada Selasa.

Majlis dirasmikan Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Rohani Ibrahim.

Sulaiman berkata, sembilan OKU yang terpilih itu akan berbahagi tugas selama 15 minit sehari untuk menjaga makan, minum, pantau kesihatan dan kebersihan reban ayam dan turut dibantu penuntut UMK semasa melaksanakan projek ternakan.

Sementara itu, Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr Noor Azizi Ismail berkata, projek berpotensi tinggi itu dilaksanakan menerusi peruntukan RM99,800 dana zakat daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Katanya, kerjasama turut diperoleh daripada Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) UMK Kampus Kota, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (INSPEK) UMK serta Majlis Pemulihan Negeri Kelantan (MPNK).

Noor Azizi (empat dari kanan) dan Rohani (empat dari kiri) ketika melawat ke tapak projek ternakan ayam kampung kacuk ayam daging di Kampung Aur Telong, Bachok pada Selasa.

“Projek bermula dengan binaan tiga unit reban menempatkan 1,500 anak ayam yang akan mengambil masa lima minggu ternak sebelum dapat dijual.

“Jumlah hasil ayam disasar meningkat sehingga 24,000 ekor setahun dan berpotensi di pasaran kerana mendapat permintaan yang amat tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Rohani berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan usaha membantu menjana pendapatan OKU dalam pelbagai bidang bagi meningkatkan tahap sosioekonomi mereka.

“Kita mahu golongan OKU diberi peluang dan bantuan untuk mencari pendapatan seperti insan lain sebagaimana yang dilakukan menerusi projek ini,” katanya.