Puasa Tapi Tak Solat, Apa Hukumnya?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Daripada Muaz bin Jabal, Nabi SAW bersabda:

“Penghulu segala perkara adalah Islam dan tiangnya adalah solat.(Hadis Riwayat Bukhari)

Dalam Islam, terdapat lima rukun Islam yang wajib dipatuhi dan dilakukan oleh semua Muslim. Antaranya ialah solat dan puasa.

Sebahagian Ulama Menghukumkan Kafir:

Solat merupakan tiang agama, jika ditinggalkan dengan sengaja maka sebahagian ulama’ yang mengambil pendapat yang lebih berat menjatuhkan hukum kafir berdasarkan kebanyakan pendapat sahabat nabi yang telah dijelaskan oleh Abdullah bin Syaqiq:

Maksud: “Dahulu para sahabat Muhammad SAW tidak pernah melihat suatu amal yang apabila ditinggalkan menyebabkan kafir kecuali solat.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Bagaimana pula dengan orang yang berpuasa tetapi dia meninggalkan solat? Apakah sah dan apa pula hukum puasanya?

Syaikh Muhammad bin Sholih Al-‘Utsaimin RA pernah ditanya: “Apa hukum orang yang berpuasa namun meninggalkan solat?”

Beliau pula menjawab:

“Puasa yang dilakukan oleh orang yang meninggalkan solat tidaklah diterima kerana orang yang meninggalkan solat adalah kafir dan murtad. Dalil bahawa meninggalkan solat termasuk dalam bentuk kekafiran berdasarkan firman Allah Ta’ala yang berbunyi:

Mafhum: “Oleh itu, jika mereka bertaubat (dari kekufuran), dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seagama; dan kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mengetahui.” (Surah at-Tawba, 9:11)

Berdasarkan dalil lain, Nabi SAW bersabda yang berbunyi:

Maksud: “Pembatas antara seorang muslim dengan kesyirikan dan kekafiran adalah meninggalkan solat.” (Hadis Riwayat Muslim)

Demikian pendapat yang berat oleh sebahagian ulama.

Manakala menurut Imam Syafie, Imam Ahmad dan Imam Malik, puasa orang yang tidak solat ialah puasanya orang yang kafir, maka tidak sah puasanya. Berdasarkan pendapat mazhab Hanafi pula, puasa orang yang tidak solat dengan sengaja sama dengan puasa orang fasiq, maka sah puasanya tetapi tidak mendapat pahala.

Keimanan Mereka Masih Dikira:

Sesetangah ulama pula berpendapat bahawa keimanan dan keislaman seseorang itu masih dikira selagi mana dia mempercayai kebenaran Allah dan RasulNya serta tidak menolak apa yang telah dibawakan oleh baginda.

Jika dia tidak melakukan sebahagian ibadah, tapi tidak pula menentang dan mempermain-mainkannya, dan dia juga melakukan ibadat-ibadat lain, maka dia dikira Muslim yang tidak sempurna, dan imannya lemah. Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyebutkan mereka sebagai orang yang melampaui batas terhadap Allah. Walau bagaimanapun Allah tetap tidak akan mensia-siakan amalan kebaikannya.

Jika muslim itu meninggalkan solat tanpa sengaja seperti tertidur atau lupa, maka ia tidak mengapa dan wajib mengqada’ solat tersebut. Ini adalah berdasarkan sabda nabi yang bermaksud:

“Diangkat dari ummatku dosa kerana keliru, lupa dan sesuatu yang dipaksakan kepadanya.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

Sumber: TZKRH.COM