Pulau Perhentian dibuka semula kepada pelancong

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Besut: Pulau Perhentian membuka semula gelembung pelancongan selepas ditutup sementara berikutan berlakunya penularan Covid-19 pada akhir Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana daerah Besut, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, pulau peranginan itu mula dibuka kepada pelancong berkuat kuasa Isnin lalu.

Beliau berkata, pembukaan semula Pulau Perhentian selaras dengan keputusan kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) kepada individu sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19.

“Penggiat industri pelancongan di Pulau Perhentian terutama pengusaha chalet dan pemandu bot sudah bersedia menerima kedatangan pelancong apabila lebih 1,508 atau 90 peratus sudah lengkap divaksin.

“Kebersihan dapur dan penyediaan makanan kepada tetamu turut diberi keutamaan oleh pengusaha chalet untuk menjamin keselamatan makanan,” katanya kepada media pada program pemeriksaan premis makanan mengikut norma baharu, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kesihatan Daerah Besut, Dr Hafizuddin Awang.

Ahmad Farhan yang juga Pegawai Daerah Besut berkata, Jawatankuasa Bencana Daerah bersetuju membenarkan operasi di Jeti Kuala Besut dibuka sepenuhnya Isnin lalu selepas semua penggiat industri pelancongan lengkap dua dos suntikan.

Beliau berkata, pembukaan Pulau Perhentian dilakukan selepas semua penggiat industri pelancongan di pulau berkenaan mematuhi SOP Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Akhir Ogos lalu, kerajaan terpaksa menutup sementara aktiviti pelancongan di Pulau Perhentian selepas berlakunya 75 kes penularan Covid-19.

Pulau Perhentian
Pulau Perhentian

Sumber: My Metro