Rahsia patung beruang terbongkar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pekan: Tindakan ‘berfikir di luar kotak’ dengan menyembunyikan dadah dianggarkan lebih 250 gram bernilai RM26,620 di dalam patung beruang bagi mengaburi pihak berkuasa akhirnya terbongkar selepas polis menyerbu rumah di Kampung Pandan, Nenasi di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Razli Mohd Yusof berkata, dalam serbuan sekitar 1.15 pagi pada 7 Mei lalu, lelaki berusia 21 tahun bersama anak saudaranya yang masih bersekolah di Tingakatan 2, ditahan bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan di dalam bilik tidur rumah itu polis menjumpai patung beruang yang digunakan untuk menyembunyikan lima bungkus dadah jenis syabu dan 162 biji pil yaba untuk dipasarkan sekitar Kampung Pandan, Nenasi di sini.

Gambar hiasan

“Selain dadah, polis turut merampas wang tunai RM1,800 dan siasatan awal juga mendapati suspek mendapatkan bekalan dadah itu dari Kuantan dan baru bergiat aktif dalam kegiatan mengedar bahan terlarang itu dalam tempoh dua bulan,” katanya kepada Bernama di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan di sini.

Tambah beliau, jumlah keseluruhan rampasan dadah berkenaan dapat dibekalkan kepada kira-kira 300 penagih dan suspek yang juga seorang penganggur itu mempunyai dua rekod lampau.

Katanya, ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek juga didapati negatif.

Mohd Razli berkata kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 13 Mei bagi membantu sisatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A (1) ADB 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika disabitkan kesalahan.

Sumber: My Metro