
MAROS – Kawasan karst Mallawa di Maros, Sulawesi Selatan terus membuktikan kepentingannya sebagai tapak arkeologi penting apabila rangka manusia prasejarah berusia lebih 7,000 tahun ditemui di salah sebuah gua di kawasan tersebut.
Penemuan itu didedahkan oleh Penyelidik Pusat Riset Arkeologi Sejarah dan Prasejarah BRIN, Hasanuddin, dalam sesi pembentangan pada Persidangan Antarabangsa Gau Maraja Leang-Leang Maros 2025 yang berlangsung baru-baru ini.
Menurut beliau, hasil kajian yang dijalankan di kawasan itu sejak beberapa tahun lalu berjaya mengenal pasti sekurang-kurangnya 28 buah gua dan ceruk yang pernah dihuni oleh manusia zaman lampau.
“Antara yang paling signifikan ialah penemuan kerangka manusia yang dijumpai pada tahun 2021. Ia dianggarkan berusia kira-kira 7,400 tahun dan dipercayai berasal daripada kelompok manusia Toalean,” katanya.
Penemuan itu memberi gambaran lebih jelas mengenai kehidupan manusia di kawasan Wallacea, khususnya pada penghujung Zaman Pleistosen hingga ke era Neolitik dan Paleometalik.
Kajian lapisan tanah (stratigrafi) serta analisis DNA manusia mendapati wujud kesinambungan aktiviti manusia di kawasan itu antara 7,400 hingga 3,600 tahun sebelum 1950.
Selain rangka, kajian turut menemui pelbagai jenis artifak seperti alat batu Maros Point yang sinonim dengan budaya Toalean serta mikrolit, iaitu serpihan batu kecil tajam yang berfungsi sebagai alat pemotong.
Turut ditemui ialah serpihan beliung batu dan cebisan tembikar yang memiliki lapisan slip merah, menunjukkan tahap kemahiran teknologi yang semakin berkembang.
“Gabungan pelbagai jenis artifak daripada budaya berbeza membuktikan wujudnya interaksi antara masyarakat Toalean dan pendatang dari budaya Austronesia,” jelas Hasanuddin.
Tambah beliau, interaksi tersebut mencerminkan proses adaptasi dan asimilasi budaya yang berlaku secara beransur-ansur dalam kalangan masyarakat prasejarah.
Bottom of Form
Pakar arkeologi juga mendapati manusia prasejarah di Mallawa hidup dalam pelbagai bentuk penyesuaian ruang, sama ada di dalam gua mahupun kawasan terbuka.
Dari segi corak pemakanan dan penggunaan ruang, termasuk kaedah penguburan, semua itu menggambarkan dinamika sosial dan budaya yang kompleks serta sentiasa berkembang.
“Kajian ini penting bagi memahami bagaimana masyarakat prasejarah bertindak balas terhadap perubahan alam sekitar dan kedatangan budaya luar,” katanya.
Mallawa kini menjadi tumpuan utama pengkaji arkeologi yang ingin menelusuri asal usul budaya dan migrasi manusia di kawasan biogeografi Wallacea yang unik.
Sebagai kawasan yang terletak di antara benua Asia dan Australia, Wallacea menawarkan petunjuk penting terhadap pergerakan dan percampuran manusia dari pelbagai latar belakang budaya.
Hasanuddin berkata, kawasan Mallawa merupakan tapak utama yang mampu menjelaskan kesinambungan budaya dan transformasi masyarakat prasejarah di Timur Indonesia.
Pihak BRIN dan pasukan penyelidik berharap lebih banyak kajian dapat dijalankan secara berterusan bagi merungkai misteri kehidupan manusia awal di rantau ini. – KOMPAS.com





