“Rasa masam, manis & pedas…” – Kerabu sarang pilihan rakyat Kelantan untuk buka puasa

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Di Kelantan, kerabu sarang merupakan pilihan rakyat negeri itu untuk dijadikan sebagai juadah berbuka puasa mahupun sahur.

Kepada mereka yang tidak mengenali makanan eksotik tersebut, ia adalah sejenis makanan rumpai laut dan dihidangkan bersama kelapa goreng, isi ikan, serta kuah yang ditumis.

Untuk pengetahuan semua, kerabu sarang ini merupakan lauk sampingan yang dimakan bersama nasi atau boleh diratah begitu sahaja.

Menurut Zulkifli Abdul Rahman, pengusaha kepada hidangan popular itu, rasanya yang masam, manis dan sedikit pedas membuatkan orang ramai gemar menikmatinya dengan nasi.

Walau bagaimanapun, penyediaan hidangan tersebut tidaklah mudah dan memerlukan proses yang rumit. Rumpai laut tersebut perlu dicuci dan dikeringkan berulang kali selama tiga hingga empat jam supaya dapat memastikan ianya bersih sepenuhnya.

Selain harus menitikberatkan aspek kebersihan, rumpai laut juga perlu bebas daripada bahan pengawet.

“Bekalan rumpai laut diperoleh dari Thailand atau Sabah sebelum diproses sendiri dengan penuh teliti supaya kerabu yang dihasilkan bersih, tidak berbau dan tahan lama.” katanya kepada Harian Metro

Zulkifli turut memberitahu bahawa jualannya meningkat dua kali ganda pada bulan Ramadhan, sehinggakan dia perlu menyiapkan hampir 12 kilogram kerabu sarang untuk memenuhi permintaan pelanggannya.

Pelanggannya terdiri daripada pelbagai peringkat umur, dari semua pelosok negeri seperti Perak, Pahang, dan Kuala Lumpur.

Kerabu sarang yang dijual berharga dalam lingkungan RM2 sehingga RM10 sebekas.

Sumber: Harian Metro