Redah Banjir Agih Makanan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tumpat : Sanggup meredah banjir yang seakan-akan lautan dengan menaiki bot dan berjalan mengharung air sedalam 0.5 meter (m) untuk melaksanakan misi utama agihan barang makanan kepada mangsa banjir.

Usaha itu dilakukan Persatuan Generasi Sejahtera (ISejahtera) yang diketuai Datuk Muhammad Hamizan Amzah di Kampung Kuala Jambu serta Naga Ibu, Pengkalan Kubor, di sini.

Membawa 80 pek barang makanan yang dimuatkan di dalam bot, kumpulan itu memasuki dua kampung yang masih lagi digenangi air sedalam antara 0.5 hingga 1.5m.

Menurut Muhammad Hamizan yang juga pengerusi persatuan itu, sumbangan berkenaan dianggap sebagai bantuan awal memandangkan banjir episod pertama tidaklah besar dan majoriti penduduk di Pengkalan Kubor tidak berpindah.

“Apabila air semakin surut, kami tampil mengagihkan barang makanan bagaimanapun banyak lagi laluan yang tidak boleh dilalui dengan kenderaan darat menyebabkan pengangkutan bot digunakan terutama di beberapa kampung yang bersempadan dengan Pasir Mas serta berhampiran Sungai Golok,” katanya.

Muhammad Hamizan berkata, misi bantuan banjir menjadi rutin tahunan mereka dan selain dua kampung di daerah ini, agihan sudah dibuat di Pasir Mas serta Bachok.

Katanya, ketika di awal gelombang pertama banjir lalu, sebanyak enam ekor lembu disumbangkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar Bachok untuk dimasak serta dijamu kepada mangsa di sana.

“Untuk pasca banjir juga tidak ketinggalan dan biasanya kami akan mengagihkan kelengkapan asas seperti dapur, tilam nipis, bantal dan selimut, manakala pasukan sukarelawan juga disediakan untuk mencuci kediaman mangsa yang terjejas,” katanya.

Seorang mangsa banjir dari Kampung Kuala Jambu, Hashim Mahmud, 50, berkata, air yang melimpah bermula kelmarin sudah semakin surut namun agak perlahan.

Dia yang bekerja sebagai kerani di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berangan, di sini, berkata, cuti kecemasan terpaksa diambil semalam dan hari ini memandangkan laluan keluar masih lagi tidak dapat dilalui.

“Air dari Sungai Golok dan Pasir Mas melimpah sejak Jumaat lalu dan walaupun sudah semakin surut, ia sangat perlahan malah kami masih perlu menggunakan bot untuk pergerakan.

“Bekalan makanan sudah disediakan secukupnya namun jika kehabisan, kami masih boleh keluar membeli kerana kebanyakan penduduk di sini memiliki bot sendiri,” katanya.

Sumber : HARIAN METRO