SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

Rentas negeri: Ramai guna perkhidmatan bas ekspres

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Seremban: Pengusaha bas ekspres di Negeri Sembilan terpaksa mencari pelbagai alternatif bagi memenuhi permintaan pengguna susulan kebenaran rentas negeri mulai semalam.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Catar Malaysia, Mohd Rofik Mohd Yusoff, 61, berkata, pihaknya tidak menyangka permintaan tinggi dalam kalangan pengguna perkhidmatan bas ekspres.

Katanya, sejak semalam, tiket bas ekspres yang di jual di kaunter tiket di sini, untuk semua destinasi habis dijual.

“Sambutan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan bas ekspres bagi kebanyakan destinasi terutama untuk ke Pantai Timur di luar jangkaan.

“Sedangkan bas yang menyediakan perkhidmatan itu dan sedia beroperasi terhad sekitar empat buah sahaja.

“Ini membuatkan ramai kalangan pengguna tidak dapat menggunakan perkhidmatan bas ekspres ini buat sementara waktu dan pengusaha sedang berusaha menyediakan lebih banyak bas dalam masa terdekat,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengusaha juga berhadapan dengan kekangan untuk memulakan operasi selepas kebanyakan bas mereka tidak digunakan dalam tempoh lama berikutan pandemik Covid-19.

Mohd Rofik berkata, pihaknya memerlukan kos yang tinggi untuk mempersiapkan bas masing-masing termasuk insurans, membuat pemeriksaan di Pusat Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan menukar tayar serta pelbagai keperluan lain.

“Pengusaha perlu menyediakan kos antara RM10,000 hingga RM15,000 untuk penyediaan kelengkapan kenderaan itu sebelum boleh memulakan semula perkhidmatan bas ekspres.

“Keadaan itu membuatkan pengusaha hadapi kekangan, bagaimanapun usaha sedang dilakukan untuk memastikan keperluan pengguna dapat dipenuhi, namun mengambil sedikit masa mungkin sehingga akhir bulan ini,” katanya.

Dalam pada itu Mohd Rofik berkata, setiap pengusaha berkenaan dikehendaki membuat persiapan termasuk memastikan kesemua bas disanitasi terlebih dahulu sebelum beroperasi.

“Persiapan lain termasuk menyediakan peralatan pengimbas suhu badan, cecair pembasmi kuman, dan memastikan pemakaian pelitup muka,” katanya.

Sumber: My Metro