
Jerantut: Peningkatan jumlah anjing liar yang berkeliaran di kawasan perumahan sekitar bandar ini meresahkan penduduk apabila haiwan itu bukan sahaja mengancam keselamatan, malah mencemari kebersihan persekitaran termasuk di kawasan masjid.
Difahamkan, lebih 50 anjing liar dilaporkan berkeliaran hampir setiap hari di beberapa lokasi tumpuan, antaranya Taman Inderapura, Taman Saujana Utama, Taman Saujana Perdana serta kawasan industri Jerantut.
Lebih membimbangkan, beberapa anjing ini turut dilihat berhampiran Masjid Tengku Mahkota Abdullah dan ada yang memasuki kawasan masjid, sekali gus menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan jemaah.
Penduduk, Rosmani Sulaiman, 61, berkata keadaan itu semakin meruncing selepas berlaku insiden anjing mengejar kanak-kanak di Taman Saujana Utama baru-baru ini.
“Diharapkan Majlis Daerah Jerantut (MDJ) dan Jabatan Veterinar segera menjalankan operasi tangkapan anjing liar bagi memastikan keselamatan penduduk serta kebersihan kawasan perumahan,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Seorang lagi penduduk, Mohd Kamaruddin Napiah, 58, dari Taman Inderapura berkata, kehadiran anjing liar bukan sahaja menakutkan penduduk, malah menimbulkan masalah kebersihan apabila haiwan itu menyelongkar tong sampah.
“Ada yang menumbangkan tong sampah dan mengoyakkan plastik hingga menyebabkan sisa bertaburan di jalan. Keadaan itu menarik haiwan lain seperti tikus dan biawak datang ke kawasan rumah.
“Masalah ini tidak boleh dibiarkan berlarutan. Kami mahu tindakan tegas dan berterusan, bukan sekadar operasi sementara,” katanya.
Sementara itu, jurucakap MDJ memaklumkan pihaknya sudah memasang beberapa perangkap di lokasi tumpuan, terutama di kawasan industri Jerantut.
“Anggota penguat kuasa MDJ sudah memasang perangkap di kawasan dikenal pasti. Operasi akan diteruskan, terutama pada waktu malam apabila anjing liar lebih aktif,” katanya.
Sumber: Bernama





