Resepi Pancake Pisang Guna 2 Bahan Saja

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

“Apa lagi menu sarapan nak buat untuk anak dan suami ye? Asyik-asyik makan roti, nasi goreng, cucur, boring jugak. Hmm… Kalau ada resepi yang sihat-sihat pun bagus juga. Yang penting simple!”

Hari-hari nak sediakan sarapan atau bekal anak-anak ke sekolah memang boleh pening kepala juga dibuatnya. Apa kata cuba buat pancake pisang hasil sumbangan Puan Yanie Rosdi ini. Walaupun ringkas, tapi tetap menyelerakan. Anak-anak mesti suka. Mak-mak yang tengah diet pun boleh ‘layan’ juga sebab hanya guna pisang dan telur saja.

Jom kita ikuti cara-caranya di bawah ini.

RESEPI PANCAKE PISANG PALING RINGKAS DENGAN 2 BAHAN SAJA

BAHAN-BAHAN

  • 3 biji pisang
  • 2 biji telur
  • *1 sudu madu (optional)

CARA-CARA

1. LENYEK PISANG

Mula-mula, lenyek pisang bersama telur sehingga sebati. Anda boleh juga gunakan blender untuk hancurkan kedua-dua bahan tadi.

2. PANASKAN KUALI LEPER

Bila dah siap dihancurkan, boleh mula panaskan kuali leper. Oleskan sedikit mentega atau butter untuk menaikkan bau yang lebih wangi. Kalau nak sihat, guna minyak zaitun pun boleh.

Oh ya, seeloknya masakkan dengan non-stick pan supaya tak melekat. Semasa memasak nanti, guna api perlahan sahaja supaya pancake masak dengan sekata dan tak hangus.

3. TERBALIKKAN

Bila dah berbuih-buih macam di bawah ni, tandanya sebelah bahagian dah masak. Jadi. bolehlah terbalikkan dan tunggu hingga sebelah lagi bahagian masak.

4. HIDANGKAN

Setelah siap boleh curahkan satu sudu madu sebagai pemanis semulajadi bagi yang sukakan rasa yang manis sedikit. Sebenarnya kalau makan begitu saja pun dah cukup sedap.

Sesuai juga dihidangkan bersama ais krim, terutamanya untuk makan petang. Kalau nak tambahkan lebih bahan dan rasa, taburkan cip coklat, kekacang, parutan keju, atau apa saja topping yang anda suka. Terpulang pada citarasa masing-masing.

Beginilah hasilnya. Walaupun ringkas, rasanya tetap lazat. Tak percaya, cubalah sendiri!

SARAPAN MUDAH & BERKHASIAT UNTUK SEISI KELUARGA

Mudah saja membuatnya. Kalau ada pisang lebih, biasanya asyik buat cucur saja kan? Jadi lepas ini bolehlah cuba resepi pancake ini pula. Ianya sudah tentu alternatif yang lebih sihat berbanding cucur sebab ianya tak digoreng dalam minyak banyak.

Kalau beli di kafe atau kedai makan di luar, susah juga nak dapat. Kalau ada pun, boleh tahan mahal juga tau harganya sekarang. Nak jimat, buatlah sendiri di rumah. Hanya guna 2 bahan saja. Boleh makan puas-puas dengan keluarga.

Selamat mencuba!

Sumber: Yanie Rosdi