SEGMEN TERKINI

SEMANIS CINTA

8pm - 12am

RM18 juta atasi air keruh di Sungai Bilut, Semantan, Klau

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Raub: Kerajaan negeri peruntukan sebanyak RM18 juta bagi menangani isu air Sungai Bilut, Semantan dan Klau keruh dengan membina tangki mendapan.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ketiga-tiga projek pembinaan tangki mendapan itu sudah ditender oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada Oktober tahun lalu.

Menurutnya, projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semantan bernilai RM5.2 juta dan projek LRA Sungai Klau bernilai RM3.4 juta dijangka siap pada Februari tahun depan.

Katanya, skop utama projek itu ialah membina tangki pra-enapan dan penggantian pam serta peralatan elektrik dan reka bentuknya mengambil kira kekeruhan air mentah hingga setinggi 20,000 NTU (nephelometric turbidity unit).

Bagaimanapun, Wan Rosdy berkata, projek LRA Sungai Bilut pula masih menunggu keputusan oleh pihak Lembaga Tender Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) kerana terdapatnya perubahan siling kos projek yang menunggu kelulusan daripada pihak EPU.

“Terdapat tiga loji utama di daerah ini yang sering mengalami gangguan bekalan air hingga menjejaskan penduduk sekitar.

“Isu kekeruhan yang tinggi menyebabkan pencemaran berlaku di Sungai Bilut, Sungai Semantan dan Sungai Klau menyebabkan loji rawatan air sedia ada tidak mampu untuk memprosesnya.

“Keadaan itu menyebabkan operasi loji kerap ditutup atau dihenti tugas serta tidak dapat merawat air mentah bagi kegunaan penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak projek permulaan kerja mengatasi kekeruhan di LRA Sungai Semantan di Kampong Kuala Liang di sini, kelmarin.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Pengarah JPS Pahang Ir Mohamad Nor Bidin.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan masalah yang dihadapi rakyat setempat dan sentiasa cuba mengatasinya demi keselesaan rakyat.

“Apabila projek ini siap kelak, isu bekalan air kira-kira 20,000 akaun pengguna air yang sering terputus akan dapat diatasi,” katanya.

Sumber: My Metro