Rubber Tipper Raih Podium Juara Keseluruhan Terengganu Merdeka 4×4 Challenge 2025

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS – Ternyata pengalaman memandu lori ‘tipper’ untuk mengangkut kayu getah menjadi sandaran terbaik buat pasukan Rubber Tipper untuk meraih juara keseluruhan kategori ‘Short Wheel Base’ Terengganu Merdeka 4×4 Challenge 2025 yang telah melabuhkan tirai pada 31 Ogos lalu di Bandar Baru Kuala Nerus, Terengganu.

Menurut pengurus pasukan yang berpangkalan di Merapoh, Pahang, Muhammad Haikal Che Mat mengatakan bahawa pasukkannya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk menaiki podium di Kuala Nerus ini memandangkan cabaran litar agak ekstrem dan  teknikal untuk jentera lumba mereka beraksi.

“Kami meletakkan sasaran awal hanya untuk menamatkan perlumbaan ke garisan penamat untuk setiap SS di mana kami hanya mempertaruhkan jentera Daihatsu Feroza 1.6 yang menggunakan karburator tanpa sebarang modifikasi kuasa enjin tambahan mahupun lain-lain ubah suai.

“Apa yang merisaukan adalah kemampuan jentera pasukan ini untuk meredah kawasan berpaya atau mempunyai anak sungai yang memberi cabaran berganda di dalam perlumbaan ini.

“Kami hanyalah ‘team kampung’ di mana rata-rata di antara kami adalah yang bekerja sebagai pemandu lori ‘tipper’ untuk mengangkat kayu-kayu getah dari kebun-kebun mahupun ladang di tempat kami,” ujar Muhammad Haikal Che Mat yang telah mengurus keperluan pasukan sejak 2022.

Rubber Tipper meraih 940 mata perlumbaan meletakkan pasukan ini selaku juara keseluruhan ‘Short Wheel Base’ untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 bersama piala kemenangan dan hadiah tajaan berupa barangan alat ganti perlumbaan.

Manakala di tempat kedua dengan jurang 16 mata dinobatkan kepada pasukan Ariff Paloh dan pasukan Anok Derih yang mengutip 896 mata untuk berada di tempat ketiga juara kesuluran bagi kategori itu.

Perlumbaan yang mempertaruhkan 10 SS termasuk ‘SS Rally’ bagi kategori ‘Short Wheel Base’ dan ‘Long Wheel Base’ menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM 13,300.00 untuk setiap pemenang termasuk pemenang tempat ke-4 dan ke-5 dan juga pelumba yang mencatat masa terpantas bagi setiap SS turut berpeluang meraih hadiah wang tunai

Melihat pada jumlah penyertaan terbesar sejak dipertandingkan yang melibatkan 152 jentera lumba, pengarah pertandingan Muhammad Muzammil Mokhetar optimis bahawa edisi seterusnya akan diteruskan dan mempertimbangkan untuk mengekalkan venue pertandingan yang sama.

“Kami menerima pelbagai reaksi dari peserta-peserta yang bertanding di sini di mana rata-rata mereka memberi reaksi positif bagi pemilihan venue pertandingan untuk edisi kali ini.

“Selain cabaran bentuk muka bumi yang mencabar, fasiliti mahupun kemudahan awam termasuk tanda awam dan surau tidak jauh dari litar pertandingan memberi kelebihan untuk setiap peserta hadir bersama keluarga mereka.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan tanda terima kasih di atas sokongan-sokongan daripada pelbagai pemegang-pemegang taruh lain khususnya di peringkat kementerian dan kerajaan negeri yang sudi memberi ruang dan peluang buat komuniti sukan lasak 4×4 ini beraksi,” ujar ujar Muhammad Muzzammil Mokhetar yang juga merupakan presiden Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah(UT4x4).

Edisi ke-5 perlumbaan jentera lasak 4×4 yang telah berlangsung selama tiga hari di Bandar Baru Kuala Nerus, Terengganu dianjurkan oleh Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah(UT4x4) bersama Kelab Terjoh! 4×4 Kuala Terengganu selaku rakan teknikal pertandingan juga turut disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan(KBS), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya(Tourism Malaysia), Kerajaan Negeri Terengganu dan beberapa lagi lain-lain agensi berkaitan yang turut sama berganding bahu untuk menjayakan sukan permotoran lasak ini.