Satu Maut, Sembilan Cedera Dalam Kejadian Pokok Tumbang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GEORGETOWN: Seorang penunggang motosikal maut manakala sembilan individu lain cedera dalam kejadian pokok tumbang di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu, pokok terbabit dikatakan menghempap dua kereta dan tiga motosikal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, A’azelan Hassan berkata, terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 1.26 pagi.

Katanya, seramai 18 anggota ke lokasi sejurus menerima panggilan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, didapati sebatang pokok menghempap beberapa kenderaan dan membabitkan 10 mangsa.

“Anggota bomba melakukan kerja menyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit, ” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

A’azelan berkata, seorang penunggang motosikal didapati meninggal dunia di tempat kejadian,manakala dua lagi lelaki masing-masing mengalami patah kaki.

Beliau berkata, mangsa yang lain turut cedera.

“Kesemua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi rawatan lanjut dan kes diserah kepada polis bagi tindakan lanjut,” katanya lagi.

Katanya, pasukan penyelamat bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) turut melakukan kerja pembersihan di lokasi selepas kejadian dan operasi tamat pada 5.58 pagi.

Sumber: BERITA HARIAN