Selenggara Parit, Longkang Elak Banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Kerajaan Pahang telah bersiap sedia menghadapi banjir menjelang musim tengkujuh dengan menyelenggara semua parit dan longkang di negeri ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd  Rahim Muda  berkata, kerajaan telah mengeluarkan arahan kepada agensi berkaitan seperti  pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menurutnya, kerja pembersihan itu perlu dilakukan bagi menangani masalah banjir kilat ketika berdepan dengan Monsun Timur Laut pada ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda

“Agensi penyelenggaraan longkang monsun dan perparitan seperti JPS, PBT dan JKR telah mengenalpasti lokasi berisiko banjir untuk dibersihkan bagi mengelakkan sistem perparitan tersumbat seterusnya mengakibatkan banjir kilat.

“Kita tidak mahu kes banjir kilat berulang sebagai contoh di Jalan Lim Hoe Lek dan Jalan Besar di Kuantan pada awal tahun lalu telah menenggelamkan beberapa kenderaan selepas hujan lebat.

“Susulan kes itu, kita sudah mengarahkan JKR dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) memasang penghadang bagi mengelak kenderaan memasuki longkang ketika berlakunya banjir kilat,” katanya.

Sementara itu, YB. Dato’ Abd Rahim berkata, kerajaan negeri menerusi beberapa agensi telah bersiapsiaga menghadapi banjir.

Persiapan telah dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang sebagai Jawatankuasa Analisa Risiko Bencana Banjir. 

Jelasnya, beberapa kenderaan penyelamat di air seperti bot amphibia dan lain lain kenderaan penyelamat turut disediakan bagi memastikan mangsa dapat dipindahkan segera.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya menjaga keselamatan keluarga agar tidak bermain atau mandi di kawasan berisiko.

“Kalau boleh, pastikan semua dokumen penting disimpan dengan baik di tempat yang selamat.

“Bersedia untuk pindah jika arahan telah diberikan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA