Sembilan Kes Buang Sampah Haram Telah Dibawa Ke Mahkamah Tahun Ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Sebanyak sembilan kes sampah haram telah dibawa ke mahkamah bagi tujuan pendakwaan di negeri ini setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata kesemua kes yang dilaporkan melibatkan daerah Kuantan dan Raub.

“Bagi tahun 2021, sebanyak sembilan kes sampah haram telah dibawa ke mahkamah bagi tujuan pendakwaan di bawah Seksyen 14 dan Seksyen 71 Akta 672.

“Daripada jumlah itu, sebanyak lapan kes adalah di Mahkamah Sesyen Kuantan manakala satu kes di Mahkamah Sesyen Raub.

“Tujuh kes telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Syesen Kuantan dengan denda keseluruhan sebanyak RM100,000 sepanjang tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan kempen berkenaan di Hotel Swiss Garden Resort.

Turut hadir, Pengarah SWCorp Negeri Pahang, Encik Sharudin Hamid; dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman.

Menurut beliau, empat daripada tujuh kes yang telah didakwa dan dijatuhkan hukum adalah merupakan syarikat termasuklah pengusaha kedai makan.

“Daripada tujuh kes yang telah didakwa dan dijatuhkan hukuman, didapati empat daripadanya adalah syarikat termasuk pengusaha kedai makan yang melupuskan sisa hasil dari perniagaan mereka ditempat yang tidak dibenarkan dengan alasan tidak mahu menanggung kos yang perlu dibayar apabila menghantar sisa mereka untuk dilupuskan du tapak pelupusan,” katanya.

Tambah beliau lagi, daripada lapan kes yang terlibat ini, empat buah lori telah disita, sebuah telah dilucuthak, sebuah telah dilepaskan, manakala dua buah lagi sedang menunggu keputusan kes.

Menurut Encik Sharudin, pihak SWCorp Pahang telah mengambil tindakan dan inisiatif berkesan dalam mengekang penularan kes sampah haram ini.

“Kita juga mengambil pendekatan pemantauan efektif bagi memastikan lokasi hot spot sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.

“Kerjasama pelbagai agensi juga turut membantu pihak SWCorp dalam membuat semakan terhadap lokasi tertentu yang dikenalpasti di semua daerah di negeri ini.

“Dan denda yang dikenakan juga adalah bagi memberi peringatan dan iktibar serta pengajaran kepada masyarakat dalam menguruskan pembuangan sisa pepejal dengan betul bagi menjaga kelestarian alam sekitar,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA