‘Seronok pilih baju sendiri’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Temerloh: “Saya tak sabar nak pakai baju sekolah serta beg baharu kerana saya sendiri yang pilih,” kata Tuan Nur Aliya Maisarah Ahmad, 12.

Murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Bangau, Temerloh itu antara 150 murid dan pelajar sekolah yang menerima sumbangan program Titipan Kasih Khas Harian Metro (HM) bersama Milo, baru-baru ini.

Menurutnya, kebiasaannya ibu dan ayah yang membeli pakaian sekolah untuk dirinya, tetapi kali ini lebih seronok kerana berpeluang memilih sendiri pakaian sekolah.

“Saya berterima kasih kepada Harian Metro dan Milo kerana memilih saya menerima sumbangan pakaian berkenaan. Saya berazam menjadi murid yang cemerlang dalam pelajaran,” katanya.

Tuan Nur Aliya bersama dua adiknya, Tuan Nur Nadia Farhana dan Tuan Nur Adlina Batrisyia dari sekolah yang sama turut memilih baju dan peralatan sekolah sendiri ketika sesi membeli pakaian di Econsave, Triang, baru-baru ini bersama wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Temerloh.

Ibu mereka, Tuan Fauziani Tuan Lodir, 36, ketika ditemui berkata, sumbangan itu amat bermakna kerana ia meringankan beban perbelanjaan persekolahan tiga anaknya.

“Saya tidak bekerja dan menjaga dua anak lagi iaitu Tuan Ahmad Shah Rayyan berusia setahun lima bulan dan Tuan Nur Amanda Alisya berusia sebulan.

“Suami saya Ahmad Julis, 34, membuka pusat mencuci kereta di Kampung Bukit Pak Silap, Temerloh dan pendapatannya sekadar mencukupi menampung keluarga,” katanya.

Tuan Fauziani berkata, hasratnya membantu suami dipendam selepas terbabit dalam kemalangan pada 2016 yang menyebabkan kaki kirinya patah dan dua tahun terlantar.

Katanya, dia terpaksa menjalani tujuh pembedahan dan kini memakai besi di bahagian kaki bagi membolehkannya berjalan.

Ibu tunggal, Siti Nor Faridah Mohammad Norwawi, 31, yang tinggal di Taman Setia Jasa, Temerloh pula terharu apabila keluarganya dipilih menerima bantuan berkenaan.

Wanita berkenaan yang bekerja sebagai pembantu kedai makan gembira kerana anaknya tidak sabar memakai baju baru apabila sesi persekolahan dibuka.

“Saya sebelum ini tidak beli baju sekolah baru untuk dua anak iaitu Mohamad Farish Ikhwan Ahmad Fuad, 12, dan Nur Zarra Zulaikha, 8, yang bersekolah di SK Sungai Gau, Temerloh,” katanya.

Menurutnya, baju tahun lalu dibeli untuk anaknya masih elok kerana tidak bersekolah kerana pandemik Covid 19 dan baju baru itu boleh dijadikan pakaian tambahan.

Sementara itu, Penolong Pegawai JKM Temerloh Sri Yanti Asah berkata, penerima sumbangan yang juga penerima bantuan Bantuan Kanak-Kanak JKM seronok mencuba baju, seluar dan kasut sekolah baru.

“Mereka dipilih daripada keluarga kurang berkemampuan sempena program Titipan Kasih Harian Metro bersama Milo bertemakan Kembali Ke Sekolah,” katanya.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Titipan Kasih Khas HM bersama Milo itu yang pertama sempena sambutan ulang tahun HM yang ke-30 dan mendapat kerjasama JKM dan Penghulu Mukim Songsang.

Penerima menerima baucar pakaian bernilai RM200 setiap seorang, beg sekolah dan keluarga turut menerima Kotak Rezeki untuk meringankan beban kewangan mereka.

Sumber: My Metro