Siap sedia hadapi status negara tua pada 2030

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Kerajaan menyarankan agar diwujudkan lebih banyak pusat penjagaan warga emas di negara ini bagi menghadapi status negara tua pada 2030.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, dalam jangka masa tidak sampai 10 tahun lagi, usaha itu perlu digembeleng pelbagai pihak sama ada kerajaan atau swasta.

Beliau berkata, kewujudan pusat sebegitu bukan semata-mata sebagai tempat penjagaan, malah menyediakan pelbagai prasarana kepada 15 peratus daripada populasi keseluruhan rakyat negara ini yang bakal bergelar warga tua nanti.

“Dalam tempoh tidak sampai 10 tahun lagi, sudah pasti kita perlu gembeling usaha ini bukan sahaja di pihak kerajaan, tapi swasta yang mengusahakan tempat sebegini daripada segi fisioterapi dan kaunseling sebab kita inginkan identiti warga emas bukan sahaja sihat, tapi aktif, cergas dan sihat.

“Kita sudah ada pusat warga emas, jadi dalam menghadapi status negara tua ini bukan sahaja daripada kerajaan, tapi ada mampu menghantar ibu bapa mereka ke pusat jagaan berbayar.

“Saya galakkan dan alu-alukan usaha daripada pihak swasta untuk sama-sama bangunkan pusat penjagaan warga emas dalam persediaan ke arah itu,” katanya.

DATUK Seri Rina Mohd Harun (dua kiri) melawat penjagaan warga emas, Ong Siok Hua ketika mengadakan lawatan ke Pusat Shalis Care Centre di Telipot. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Seri Rina Mohd Harun (dua kiri) melawat penjagaan warga emas, Ong Siok Hua ketika mengadakan lawatan ke Pusat Shalis Care Centre di Telipot. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Beliau ditemui selepas melawat Shalis Care Centre di Telipot, di sini, hari ini, yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kepada 30 warga emas.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Said Sidup.

Sementara itu, Rina berkata, pihaknya sudah mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama agensi berkaitan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung isu lebih 4,000 kanak-kanak di negara ini yang kehilangan ibu bapa dan penjaga akibat Covid-19.

Beliau berkata, daripada angka itu seramai 154 kanak-kanak menjadi yatim piatu manakala selebihnya kehilangan ibu, bapa atau penjaga.

Sumber: My Metro