Siasat Menyeluruh Insiden Tanah Runtuh Cameron Highlands – NGO

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

CAMERON HIGHLANDS: Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) menggesa siasatan menyeluruh dilakukan di lokasi berlakunya tanah runtuh di Jalan Besar Brinchang, Kilometer (KM) 67 berhampiran Agro Market di sini pada Sabtu.

Presidennya, A Dilip Martin berkata, cadangan pembangunan Pasar Tani Kekal yang mengandungi 42 lot ruang niaga di lokasi berkenaan dipercayai tidak mematuhi syarat yang ditetapkan.

“Mengikut Rancangan Tempatan Daerah Cameron Highlands (RTDCH) 2030, kawasan ini diklasifikasikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 yang mana tiada pembangunan, pertanian atau pembalakan dibenarkan kecuali untuk aktiviti pelancongan alam semula jadi berimpak rendah, penyelidikan dan pendidikan.

“Ketinggian cerun melebihi 35 darjah dan kawasan tersebut merupakan zon hutan. Bagaimana projek ini boleh diluluskan?” soalnya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, pihak berkuasa tempatan (PBT) seharusnya memperhalusi semua aspek yang dinyatakan dalam RTDCH 2030 tersebut.

“Syarat nyata untuk Lot 15263 adalah tanah ini harus digunakan untuk pejabat operasi dan kuarters dan bukannya untuk ruang niaga.

“Kawasan yang sedang diteroka juga tidak menjalankan mitigasi cerun sehingga berlakunya tanah runtuh hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas selama hampir empat jam,” katanya.+

Dilip Martin berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sepatutnya meneliti dan memberi ulasan untuk menolak projek tersebut kerana ia tidak mematuhi syarat-syarat RTDCH 2030.

Tambah beliau, sikap PBT yang mengambil ringan perkara itu sebelum projek dimulakan akhirnya menyebabkan berlakunya tanah runtuh.

“Siasatan menyeluruh terhadap projek-projek yang diluluskan ini perlu dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“PBT telah membelanjakan jutaan ringgit untuk menyiapkan dokumen RTDCH 2030 yang telah diwartakan oleh kerajaan negeri tetapi mereka sendiri tidak mengikutinya.

“Sampai bila kerajaan akan berdiam diri tanpa meningkatkan penguatkuasaan Jabatan Alam Sekitar (JAS0 di Cameron Highlands. Adakah kerajaan akan bertindak setelah berlakunya kehilangan nyawa,” katanya.

Media melaporkan kejadian tanah runtuh sekitar jam 11 pagi itu menyebabkan sebahagian laluan jalan terhalang namun, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

Sebuah kereta yang diparkir berhampiran rosak akibat dihempap dengan tiang elektrik yang tumbang dalam insiden itu. – Sinar Harian