Siti Bainun cuti sakit 22 hari, perbicaraan kes Bella ditangguh

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu, pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, diberi sijil cuti sakit (MC) selama 22 hari berakhir 19 Disember ini akibat masalah kesihatan.

Peguam bela Siti Bainun, Nur ‘Aminahtul Mardiah Md Nor, berkata Siti Bainun dijangkiti bakteria, yang memerlukan pengambilan antibiotik selama 15 hari sebelum menjalani pembedahan hempedu.

Beliau berkata, jangkitan itu dikesan hasil prosedur perubatan diagnostik atau endoskopi dan ujian darah di hospital, semalam.

“Siti Bainun yang dikecualikan kehadiran pada sebutan kes hari ini, dibenarkan keluar dari hospital jam 9 malam tadi. Laporan terkini kesihatan dan MC Siti Bainun akan dikemukakan kepada mahkamah.

“Laporan penuh pula akan diberi selepas 14 hari kerana hospital memerlukan masa. Anak guam perlu kembali ke hospital pada 15 Disember untuk rawatan susulan, manakala 20 Disember menjadi penentuan sama ada Siti Bainun boleh teruskan dengan pembedahan hempedu atau sebaliknya.

“Isu kedua, kami membuat permohonan masing-masing untuk mendapatkan rakaman percakapan saksi pembelaan ditawarkan pendakwaan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) serta memanggil semula saksi pendakwaan mengikut Seksyen 173 (j) (iii) KPJ dan Akta Keterangan 1950,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas, memohon kepastian keadaan sebenar Siti Bainun, yang diberikan MC bermula 28 November hingga 19 Disember ini.

“Kami bukan doktor untuk memahami gambar dalam laporan kesihatan kerana mempunyai banyak terma saintifik. Sebab itu, kami mohon doktor dipanggil memberi keterangan mengenai laporan itu.

“Berkaitan isu permohonan, pendakwaan sudah memfailkan bantahan berhubung permohonan mengikut Seksyen 112 KPJ semalam, namun permohonan Seksyen 173 KPJ baru diketahui hari ini,” katanya.

Susulan itu, Hakim Izralizam Sanusi, meminta kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis permohonan mengikut Seksyen 173 KPJ itu sebelum jam 4.30 petang esok dan akan membuat keputusan berhubung kedua-kedua perkara berkenaan, Jumaat ini.

Izralizam juga akan memutuskan tarikh baharu prosiding bela diri kes Siti Bainun, yang sepatutnya berjalan minggu ini, pada hari sama.

“Saya membenarkan penangguhan bicara kerana tertuduh tidak sihat serta diberikan MC. Persoalan doktor dipanggil beri keterangan tiada keperluan. Berdasarkan fakta, mahkamah perlu memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bersedia kerana ia akan memberi kesan kepada tertuduh.

“Saya akan memberi dapatan terhadap permohonan itu pada Jumaat ini. Mahkamah juga mempunyai kuasa untuk menetapkan tarikh bicara peringkat pembelaan dan akan menggunakan budi bicaranya.

“Ia berdasarkan tarikh lapang peguam bela dan pendakwa raya, selain isu dibangkitkan pada hari ini, yang akan diputuskan pada Jumaat,” katanya.

Pada 24 November lalu, Siti Bainun diarahkan membela diri terhadap pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom down, Bella di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di antara Februari hingga Jun 2021.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan untuk membela diri bermula kelmarin hingga Jumaat ini dan lima saksi pembelaan akan dipanggil bagi memberi keterangan, termasuk Siti Bainun.

Pada 28 Oktober lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 22 saksi pada perbicaraan kes itu yang bermula 30 Mac lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sumber: BERITA HARIAN