Siti Bainun Diarah Bela Diri Kes Abai, Aniaya Bella

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini, mengarahkan Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali membela diri atas tuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Hakim Izralizam Sanusi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Siti Bainun, 30, di akhir kes pendakwaan.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias manakala Siti Bainun diwakili peguam Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan Maaruf, Nurul Hafidzah Hassan, Asiah Abd Jalil dan Nur Ellena Mohamed Razif.

Hadir sama Datuk Khairul Anwar Rahmat, Datuk Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman yang dilantik oleh Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang bertindak selaku peguam pemerhati.

Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan untuk Siti Bainun membela diri pada 5,6,7,8 dan 9 Disember depan.

Terdahulu, Siti Bainun hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, jam 9.15 pagi, dengan memakai baju kurung berwarna hitam dan tudung merah jambu.

Pada 28 Oktober lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 22 saksi pada perbicaraan kes itu yang bermula 30 Mac lalu.

Selain Bella, saksi lain termasuk bekas penghuni Rumah Bonda iaitu Yasmin Nahar Mahmood, pakar psikiatri Dr Wan Asyikin Wan Azlan, pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin dan pakar bedah plastik Dr Salmi Mohamed Shukur.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Sumber : BERITA HARIAN