SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

Sulaman Bunga Lily

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Akish duduk di bahagian kerusi VIP. Tangannya sejuk menanti siapakah yang akan dinobatkan sebagai pemenang. Rata-rata pesaingnya semua dari orang-orang yang hebat-hebat. Tangannya yang sejak tadi menggigil terhenti apabila Puan Salmah yang duduk disebelahnya menyentuh lembut tangan anaknya itu. Puan Salmah cuba menyalurkan sedikit kekuatan kepada anaknya. Penantiannya dan persoalannya berakhir apabila namanya disebut oleh pengacara majlis untuk naik ke pentas untuk menerima anugerah dan memberikan ucapan. Sebaik sahaja dia berada di atas pentas, air matanya tiba-tiba bergenang. Sebak mula menguasai diri. Untuk seketika fikirannya mula mengimbas kembali detik-detik sewaktu kecilnya sebelum dia berjaya seperti sekarang.

Akish merupakan anak tunggal dan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga. Oleh kerana dia merupakan anak tunggal, dia selalu dimanjakan oleh ibunya. Segala kemahuan Akish sentiasa dipenuhi oleh ibunya meskipun mereka hidup dalam serba kekurangan. Ibunya merupakan suri rumah sepenuh masa. Apabila ada permintaan dari orang kampung yang memintanya untuk menjahit baju, barulah ibunya iaitu Puan Salmah akan menerima tempahan baju tersebut. Kebiasaan baju tempahan yang diambil oleh ibunya terdiri dari baju kurung, baju pertunangan yang ringkas, baju melayu dan banyak lagi. Manakala ayah Akish iaitu Tuan Azam pula seorang yang tegas. Ayahnya hanya bekerja sebagai penoreh getah di kebun getah Pak Kasim di hujung kampung.
Pernah suatu hari, sewaktu dia berumur 8 tahun, dia pernah dipukul oleh ayahnya kerana memakai baju perempuan anak jiran ibunya yang telah siap dijahit oleh ibunya. Dia memakai baju perempuan hanya untuk menceriakan ibunya yang telah berpenat lelah menyiapkan jahitan baju yang banyak dalam masa satu hari.
“Ibu, cantik tak Akish pakai baju gaun pink ini?” soal Akish kepada ibunya.
“Eh Akish. Kenapa pakai baju perempuan ini? Buruk betul la anak ibu pakai baju perempuan. Kelakar pun ada,” kata Puan Salmah sambil tangan kanannya menutup mulut kerana menahan ketawa melihat anaknya memakai baju perempuan. Comel sahaja Akish di matanya saat ini.
Sewaktu dia sedang asyik mengayakan pakaian gaun tersebut dengan menunjukkan pelbagai gaya lucu kepada ibunya, ayahnya tiba-tiba pulang dari bekerja. Melihat Akish dalam persalinan baju perempuan, Tuan Azam menjadi naik angin. Dia meluru laju ke arah Akish dan menampar Akish sehingga Akish terjatuh ke atas lantai kayu rumahnya. Puan Salmah sangat terkejut. Dia ingin menghampiri Akish namun ditegah oleh suaminya.
“Siapa suruh kau pakai baju perempuan? Kau nak jadi perempuan ke? Aku suruh kau belajar bukannya bermain-main. Cuba kau tengok anak lelaki Pak Kasim, si Ali itu. Dia telah dinobatkan sebagai pelajar cemerlang di sekolahnya. Kau pula? Tahu bermain sahaja. Macam mana nak berjaya kalau asyik bermain sahaja dan tak belajar,” herdik Tuan Azam dengan kuat.
Akish kelihatan kaku disitu dan hanya menundukkan kepala sahaja sejak dari tadi. Dia tidak berani bertentang mata dengan ayahnya saat itu. Dia mula teresak-esak menahan tangisan.
“Baru kena marah sikit dah nak menangis. Macam perempuan. Orang lelaki tak boleh tunjuk lemah, kena selalu kuat, gagah dan berani macam lelaki sejati. Inilah padahnya bila terlalu manjakan anak sangat,” tambah Tuan Azam sambil mengerling ke arah isterinya disebelah. Isterinya turut sama menangis.
“Sudahlah tu abang. Akish tak salah. Saya yang salah sebab manjakan dia sangat. Abang janganlah marahkan Akish. Akish pakai baju perempuan untuk menghiburkan saya sahaja. Bukannya dia nak jadi perempuan,” terang Puan Salmah kepada suaminya.
“Ah, itu semua alasan! Sebelum ini pun, dia ni pakai baju perempuan bukan sekali. Tapi banyak kali. Dalam almari penuh dengan pakaian dengan berwarna pink. Kalau ayah nampak Akish pakai baju perempuan lagi selepas ini, siap Akish ayah kerjakan. Ayah ikat Akish di depan pokok besar di depan rumah sana. Biar satu badan digigit kerengga sebab degil sangat. Kalau nak rasa kena
gigit dengan kerengga, pakailah lagi baju perempuan,” ugut Tuan Azam kepada Akish. Pujukan dan penjelasan isterinya langsung tidak mahu didengarinya.
“Orang suruh belajar rajin-rajin. Bukan asyik bermain dan bergurau sana sini. Kalau tak belajar macam mana nak jadi seorang guru. Ayah tetap nak Akish bila besar nanti jadi seorang guru. Barulah ayah dapat tunjuk depan orang kampung yang ayah ada anak yang bekerjaya besar,” tambah Tuan Azam lagi.
Akish dilihat hanya mendiamkan diri. Tuan Azam menyuruhnya masuk ke dalam bilik. Akish bangun dan berlari masuk ke dalam bilik. Di dalam bilik dia menangis sepuas-puasnya. Puan Salmah ingin pergi ke bilik anaknya untuk memujuknya namun ditegah oleh suaminya. Malam itu dia tidur ditemani air mata.

Apabila Akish meningkat dewasa, Akish yang baru pulang dari sekolah menengahnya selalu membantu ibunya menjahit jahitan yang ringkas-ringkas yang dihantar oleh pelanggan ibunya seperti seluar koyak, menjahit butang, menjahit zip seluar atau baju dan sebagainya. Suatu hari sewaktu dia sedang membantu ibunya menjahit butang baju pelanggan ibunya, dia terjumpa satu sapu tangan bercorak bunga Lily yang disulam dengan benang putih dan hijau. Dia mula bertanya kepada ibunya.
“Ibu, sapu tangan milik siapa ini? Siapa yang buat sulaman ini ibu? Di mana dia belajar membuat sulaman bunga ini?” soal Akish dengan bertubi-tubi. Dia begitu tertarik dengan sulaman bunga itu.
Puan Salmah yang sedang menjahit baju kurung di mesin jahit melirikkan matanya kepada Akish.
“Oh itu sapu tangan ibu. Ibu menjahit sulaman pada sapu tangan itu sewaktu ibu berumur 10 tahun. Nenek Akish yang ajar ibu cara membuat sulaman bunga itu,” kata Puan Salmah.
“Berapa lama untuk ibu siapkan sulaman bunga ini?” soal Akish lagi dengan penuh teruja.
“Tak lama pun. Dalam empat hari tak silap ibu. Masa itu ibu belum pun mahir. Jadi lambatlah sikit nak siapkan sulaman itu. Kalau orang yang dah mahir, dua hari sahaja sudah cukup untuk menyiapkan sulaman itu. Nak menghasilkan satu sulaman memerlukan kesabaran yang tinggi Akish. Hanya orang yang betul-betul berminat sahaja yang berjaya menghasilkan sulaman yang cantik dan kemas. Kenapa Akish bertanya? Nak belajar buat sulaman itu ke?” duga Puan Salmah.
“Boleh juga ibu. Cantik sulaman yang ibu buat. Ibu ajarkan Akish cara buat sulaman ini boleh?” pinta Akish dengan mata yang bersinar-sinar.
“Tak bolehlah Akish. Lagipun nak hasilkan sulaman itu ambil masa yang lama untuk Akish buat. Ibu takut Akish tak belajar nanti. Lagi satu, kalau ayah tahu Akish buat sulaman, nanti kena marah dengan ayah macam mana? Bukan Akish sahaja yang kena marah tau. Dengan ibu sekali nanti kena marah. Lagipun kerja-kerja membuat sulaman ini kebanyakannya orang perempuan sahaja yang buat. Bukannya lelaki,” jelas Puan Salmah. Jelas kebimbangannya apabila Akish menyatakan hasrat untuk belajar membuat sulaman darinya.
“Ala ibu ajarlah Akish cara buat sulaman ini. Akish betul-betul berminat nak buat sulaman ini. Inilah masanya untuk Akish buktikan bahawa lelaki juga boleh buat apa yang perempuan boleh buat. Pasal belajar itu ibu janganlah risau, Akish janji Akish belajar bersungguh-sungguh nanti. Ayah tak akan tahu ibu ajar Akish cara buat sulaman ini. Akish buat senyap-senyap. Akish janji,” kata Akish dengan penuh bersemangat.
Puan Salmah hanya tersenyum. Apabila anak lelaki tunggalnya inginkan sesuatu, dia tidak pernah menolak kehendak anak lelakinya. Cuma dia risaukan suaminya nanti. Akish seperti berminat dalam bidang jahitan dan fesyen. Suaminya pula sentiasa inginkan Akish menjadi seorang guru yang berjaya pada masa hadapan supaya orang kampung berbangga dengan anaknya yang pintar. Namun Akish seperti tidak menunjukkan minat dalam pembelajaran akademik dan lebih cenderung kepada pembelajaran kemahiran terutamanya dalam bidang menjahit yang kebanyakannya didominasi oleh kaum wanita.
“Baiklah Akish. Ibu akan ajarkan Akish cara membuat sulaman. Tapi Akish harus belajar bersungguh-sungguh. Akish tahu kan ayah nak sangat tengok Akish jadi seorang guru,” kata Puan Salmah.
“Akish tahu ibu. Tapi Akish tak minatlah jadi guru. Akish kurang minat kalau membaca dan menghafal ni,” jawab Akish.
“Tak bolehlah macam tu Akish. Akish dah janji tadi untuk belajar bersungguh-sungguh kan. Jangan hampakan impian ayah yang nak sangat tengok Akish jadi seorang guru. Ibu pun tak kisah sebenarnya cita-cita Akish nak jadi apa pun. Nak jadi pereka fesyen ke, doktor ke, polis ke. Semuanya ibu akan sokong,” kata Puan Salmah sambil tersenyum kepada anaknya.
Akish memeluk ibunya dengan erat. Dia amat bersyukur kerana mempunyai seorang ibu yang memahami dirinya. Puan Salmah kemudiannya memberikan Akish beberapa helai sapu tangan putih dan dua benang berwarna putih dan hijau untuk Akish membuat sulaman. Puan Salmah mengajar Akish membuat sulaman bunga lily seperti yang diinginkan oleh Akish. Akish berhasrat jika dia berjaya menyiapkan sulaman tersebut, dia akan menghadiahkannya untuk ibunya. Siang berganti malam, Akish tidak pernah berputus asa menyiapkan sulamannya. Minat yang tinggi dalam bidang jahitan dan membuat sulaman menyebabkan dia tidak pernah berasa bosan atau malas untuk menyiapkan sulaman tersebut. Dia berharap suatu hari nanti ayahnya akan merestui cita-citanya yang ingin menjadi pereka fesyen pada masa hadapan.

Habis sahaja waktu persekolahan, Akish cepat-cepat ingin pulang ke rumah. Dia memasukkan buku-bukunya ke dalam beg. Kawan baiknya, Najmi yang berada di sebelahnya mula terasa seperti diabaikan. Najmi memegang lengan Akish yang kelihatan terburu-buru hendak pulang.
“Kau nak ke mana cepat-cepat ni? Aku nak tanya kau, dua tiga hari ini kau kemana? Tak kan sibuk menjahit di rumah sampai tak ada masa nak bermain bola dekat padang petang ni?” soal Najmi dengan nada tidak berpuas hati.
Kebelakangan ini Akish susah untuk diajak keluar. Mulutnya selalu keluar perkataan sibuk memanjang.
“Alamak. Lain kalilah Najmi. Aku kena balik sekarang. Tempahan baju yang dihantar pada ibu aku di rumah banyak nak kena siapkan. Kesian ibu aku kalau aku biarkan dia seorang-seorang siapkan tempahan baju tu. Lain kali sahajalah kita lepak sama-sama,” tipu Akish. Dia sudah mula menggalas beg sekolahnya di atas bahu. Dia sebenarnya ingin pulang cepat ke rumah untuk menyiapkan sulaman pada sapu tangan putih itu.
“Betul ke kau ni? Selama ini pun ibu kau banyak sahaja tempahan baju yang dihantar ke rumah kau. Tapi kau ada sahaja masa untuk keluar bermain dengan aku di padang. Tiba-tiba dua tiga hari ini aku ajak pergi padang, kau pula cakap tak bolehlah, sibuklah. Ke kau ada sembunyikan sesuatu di belakang aku,” duga Najmi.
“Baik kau beritahu aku cepat,” Najmi sudah mula mendesak. Akish mula menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Aku kena baliklah. Nanti ayah aku marah kalau aku bermain dekat padang. Lagi satu, aku cakap betullah yang aku kena balik awal sebab nak tolong ibu aku menjahit,” jawab Akish dengan selamba. Takut juga kawan baiknya dapat menghidu penipuannya.
“Baiklah. Kali ini kau boleh balik. Tapi hari lain kalau aku ajak kau pergi padang, kau kena pergi tau. Baguslah kau ni Akish. Kau tak kisah langsung buat kerja-kerja orang perempuan macam ni.”
“Kerja-kerja menjahit ni, bukan orang perempuan saja yang kena mahir. Orang lelaki pun sama supaya di kemudian hari kalau orang perempuan tiada di sekeliling kita, kita dah pandai berdikari dan tahu macam mana nak uruskan diri. Kau ingat senang ke nak menjahit. Menjahit ni, memerlukan kesabaran, ketelitian dan kelembutan supaya jahitan yang dibuat tu kemas dan rapi,” jelas Akish panjang lebar.
“Betul juga kata-kata kau tu Akish,” jawab Najmi sambil mengangguk berulang kali tanda mengiyakan kata-kata Akish. Akish hanya tersenyum nipis melihat Najmi dengan anggukan. Setelah itu, Najmi hanya melihat kelibat Akish hilang disebalik pelajar yang turut berjalan pulang ke rumah.

Jam sudah menunjukkan pukul 6 petang menandakan Tuan Azam baru sahaja pulang ke rumah setelah penat bekerja. Dia bertanya kepada isterinya keberadaan Akish.
“Di mana Akish? Tak nampak dia pun. Tak balik rumah lagi ke?” soal Tuan Azam pada isterinya yang sedang menyiapkan makan malam untuk mereka sekeluarga.
“Eh taklah bang, suka benar awak ni menuduh si Akish tu. Akish awal-awal lagi dah balik ke rumah selepas habis sekolah. Dia ada dalam bilik, belajar agaknya. Cuba abang pergi tengok-tengokkan dia kat dalam tu,” kata Puan Salmah sambil menuangkan air kopi ke dalam cawan suaminya. Suaminya hanya mengangguk dan berjalan menuju ke bilik Akish.

Di dalam bilik, Akish berusaha menyiapkan sulamannya. Hari ini sudah masuk hari kelima dia berusaha membuat sulaman yang rapi dan cantik. Tatkala Akish sibuk menyiapkan sulamannya, dia terlupa untuk melihat ke arah jam dan mengunci pintu biliknya dan secara tiba-tiba, pintu biliknya telah dibuka dan susuk tubuh yang digeruninya sudah pun berada di muka pintu biliknya. Di saat itu, Akish terus memberhentikan jahitan sulamannya dan cuba menyembunyikan sapu tangan dan beberapa benang di atas katilnya ke bawah bantal. Akish sudah menduga apa yang akan berlaku pada malam ini terhadap dirinya. Wajah Tuan Azam yang pada mulanya tenang, mula bertukar merah menandakan kemarahannya yang sudah hampir meledak. Lalu, dia meluru laju ke arah Akish dan menarik sapu tangan yang disembunyikan oleh Akish di bawah bantal. Tuan Azam melihat pada sapu tangan tersebut sulaman bunga Lily yang hampir siap.
“Siapa suruh kau buat sulaman ni! Aku tak suruh kau buat kerja-kerja orang perempuan. Aku suruh kau belajar! Belajar! Belajar! Susah sangat ke nak belajar hah!! Kau pergi ambik buku dan belajar sekarang! Bukannya menjahit dan buat sulaman macam orang perempuan. Kau tak malu ke nanti orang kampung menghina kau buat kerja orang perempuan macam orang tak ada masa depan! Kau nak orang kampung mengata aku sebab ada anak lelaki yang macam kau! Suka menjahit macam orang perempuan! Tu bukan kerja kau, kau anak jantan!” herdik Tuan Azam.
“Kau cakap dekat aku sekarang kenapa kau buat sulaman ni? Kau nak jadi orang perempuan ke? Fitrah kau dah berubah? Ke kau nak jadi tukang jahit macam orang perempuan?” soal Tuan Azam dengan nada yang tinggi sambil memukul Akish dengan kuat menggunakan penyapu lidi yang berada di tangan ayahnya.
“Maafkan Akish ayah, Akish janji Akish tak akan menjahit dan membuat sulaman lagi lepas ni,” jawab Akish sambil kedua tangannya mengusap kedua-dua kakinya yang kesakitan akibat dipukul oleh ayahnya.
Air mata kembali mengalir kerana kesakitan yang teramat sangat. Puan Salmah yang mendengar suara Akish menangis segera berlari menuju ke arah bilik Akish. Puan Salmah cuba untuk mendekati Akish tetapi ditegah oleh suaminya.
“Abang… kenapa awak pukul anak kita ni,” tanya Puan Salmah sambil menangis.
“Awak jangan masuk campur! Ini hal saya dan Akish!.
“Selagi kau tak jawab, aku akan pukul kau sampai kau jawab soalan aku!” kata Tuan Azam kepada Akish dengan mencerlungkan matanya .

“Ayah!!! Akish…Akish…Akish sebenarnya nak jadi pereka fesyen. Akish tak nak pun jadi cikgu macam yang ayah nak. Ramai saja pereka fesyen lelaki yang berjaya di Malaysia. Akish nak jadi salah seorang dari mereka. Akish akan buktikan yang Akish akan berjaya macam mereka juga. Akish percaya Akish mampu,” jawab Akish dengan nada yang tersekat-sekat. Dia menundukkan kepalanya sewaktu bercakap. Dia takut untuk bertentang mata dengan ayahnya saat itu.
“Kau tahu tak pereka fesyen tu hanya sesuai untuk pekerjaan orang perempuan! Ramai perempuan yang bekerja dalam industri menjahit ni berbanding lelaki! Orang lelaki tak sesuai jadi tukang jahit. Memalukan saja kalau orang kampung tahu kalau anak lelaki aku jadi tukang jahit!”
“Tapi ayah..” suara Akish terhenti kerana pandangan tajam oleh ayahnya, dia berada dalam keadaan ketakutan dan dilema.
“Aku tak nak kau jadi seorang pereka fesyen! Jangan nak malukan muka aku depan orang kampung. Aku nak kau tetap jadi cikgu. Masa depan kau lebih cerah! Biarlah kau tak minat sekalipun. Minat boleh dipupuk dan boleh diasah kalau kau berusaha,” kata Tuan Azam dengan tegas.
Dia kemudiannya meletakkan buku teks sekolah dihadapan Akish supaya Akish membaca dan mula belajar. Sapu tangan putih yang disulam oleh Akish dirampas oleh ayahnya. Akish hanya mampu menangis teresak-esak sambil memegang buku teksnya di atas pehanya.

Setelah 6 tahun berlalu, akhirnya Akish berjaya mendapat tawaran ke Universiti di dalam bidang fesyen di Universiti Teknologi Mara Seri Iskandar, Perak. Meskipun ayahnya tidak menyukai dirinya terlibat dalam dunia fesyen namun dia nekad untuk pergi jua kerana mendapat sokongan dan dorongan penuh oleh ibunya.
Sepanjang dia di Universiti, dia mendapat pelbagai anugerah di dalam inovasi dan kemahiran menjahitnya dalam bidang pakaian perempuan dan lelaki. Cuti semesternya juga habis digunakan untuk membantu ibunya di rumah membuat tempahan jahitan baju penduduk kampung yang dihantar kepada ibunya. Rata-rata penduduk kampung amat menyukai hasil jahitan Akish yang sangat bagus dan kemas sekali dan bukannya pandangan serong dan hinaan seperti yang dibayangkan oleh ayahnya dahulu. Semua penduduk di kampungnya sangat menghargai bakat yang diperoleh oleh Akish.

Sedang Akish mengelamun panjang mengimbau kenangannya sewaktu kecil, tiba-tiba seseorang memanggilnya dengan nada separuh berbisik dari sebelah kanannya. Dia tersedar dari lamunannya dan memalingkan wajahnya ke sebelah kanan. Pengacara majlis yang berada di sebelah kanan pentas memberi isyarat kepadanya supaya memberi ucapan dengan kadar segera.
Baru dirinya tersedar dia sekarang berada di atas pentas saat ini. Ramai yang sedang memerhatikannya dari bawah pentas. Dia telah dinobatkan sebagai pereka fesyen terbaik dari Malaysia bagi tahun 2021. Sebelum ini Akish banyak menjahit pakaian pengantin muslimah sehingga mendapat banyak permintaan dari dalam dan luar negara. Apa yang menarik pada baju yang dijahitnya adalah sulaman istimewa hasil jahitan tangannya sendiri yang sangat cantik dan unik. Jahitannya juga kemas dan sangat selesa dipakai.
Setelah menerima anugerah dan memberikan ucapan, dia melihat ibunya sedang melambaikan tangannya dari tempat duduk VIP. Kelihatan raut wajah ibunya yang amat berbangga melihat kejayaannya. Seperti kebiasaannya, ayahnya tidak pernah hadir ke majlis-majlis anugerah tersebut.
Namun, baru sahaja Akish ingin menapak keluar dari dewan, langkah Akish terhenti apabila melihat ayahnya berada di muka pintu dewan sambil memeluk sebuah album yang di dalamnya penuh dengan keratan akhbar dan majalah yang mengandungi kejayaan Akish sepanjang menjadi seorang pereka fesyen terkenal. Akish melihat ayahnya menyeka air matanya yang bergenang di tubir mata. Raut wajahnya menunjukkan dia amat berbangga dengan kejayaan Akish.