Sungai Keratong, Sungai Rompin Melepasi Paras Bahaya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Paras air Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia, Rompin melepasi paras bahaya setakat jam 8 pagi, hari ini.

Maklumat dalam laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mencatatkan bacaan 11.46 meter berbanding paras bahaya ditetapkan 11 meter.

Keadaan itu berlaku berikutan hujan lebat melanda daerah itu sejak semalam.

Selain itu, paras air di Sungai Triang di Triang, Bera melepasi paras amaran dengan merekodkan bacaan 34.28 meter berbanding paras ditetapkan 33.80 meter.

Sungai Kundang di Jambatan Sungai Kundang, Maran pula melepasi paras waspada iaitu 19.16 meter berbanding 19 meter.

Sementara itu, Info METMalaysia dalam kenyataan hari ini, memaklumkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramal di kawasan perairan Pahang.

Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa, berkata penduduk yang berada di kawasan rendah dan berisiko banjir dinasihatkan sentiasa bersedia jika berlaku banjir.

“Dari segi persediaan JBPM, kami bersiap siaga bukan sahaja keanggotaan yang akan menjalankan tugasan, malah peralatan termasuk bot,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN