SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

Surah Taha Pelembut Hati?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWM) ada menerima soalan berhubung hukum mengamalkan sesuatu surah untuk sesuatu sebab. Soalan ini juga khusus untuk surah Taha yang berkait dengan Saidina Umar dan ayat ini dikatakan pelembut hati.

Secara amnya, mengamalkan bacaan surah Taha ayat 1 hingga  5 sebagai penawar dan pelembut hati adalah harus berdasarkan dalil yang mengharuskan berdoa dan jampi (ruqyah) menggunakan ayat al-Quran dan nama Allah.

Kisah Saidina Umar bin al-Khattab telah memeluk Islam ketika mendengar beberapa ayat dari surah Taha. Namun tidak ditemui dalil dan nas khusus dari al-Quran dan hadis yang menyatakan bahawa surah Taha ayat 1-5 merupakan ayat pelembut bagi hati.

Al-Quran adalah mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai petunjuk kepada umat manusia. Allah SWT menjadikan al-Quran sebagai penawar bagi hati serta rahmat bagi mereka yang beriman kepada-Nya.

Firman Allah SWT: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya.”  (Surah al-Isra, 82)

Imam al-Qurtubi menukilkan pandangan ulama yang menyatakan bahawa: “Sesungguhnya ia (al-Quran) merupakan penawar bagi hati dengan menghilangkan kejahilan dan keraguan serta membuka hati yang tertutup daripada penyakit kejahilan untuk memahami mukjizat dan perkara yang menunjukkan kekuasaan Allah SWT.” (Tafsir al-Qurtubi)

Surah Taha merupakan surah yang diturunkan di Makkah sebelum Islamnya Saidina Umar al-Khattab. Surah ini berhubung kait tentang kisah pengislaman Saidina Umar al-Khattab seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Qurtubi di dalam kitabnya.

Kisah yang  diriwayatkan oleh al-Daraqutni di dalam sunannya yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik yang menceritakan bahawa Saidina Umar keluar bersama pedangnya dengan tujuan untuk membunuh Rasulullah SAW.

Ketika dalam perjalanan, beliau diberitahu saudara perempuannya telah menjadi pengikut baginda Nabi SAW. Lantas beliau terus meluru ke rumah saudaranya. Sebaik sahaja sampai di rumah tersebut beliau terdengar suara Khabbab membaca surah Taha. Lalu beliau meminta mushaf yang ditulis di dalamnya surah tersebut kemudian dia membacanya.

Kisah ini diceritakan panjang lebar oleh Ibnu Hisyam di dalam sirahnya dengan menukilkan kisah ini daripada Ibnu Ishaq. Setelah selesai Saidina Umar membersihkan diri, kemudian saudara perempuannya memberikan mushaf yang terkandung di dalamnya surah Taha ayat 1 hingga 20 tersebut kepada Saidina Umar lalu dibacanya.

Setelah itu, beliau berkata: “Alangkah cantik dan mulianya kata-kata ini.”

Kemudian beliau meminta Khabbab memberitahunya tempat untuk berjumpa baginda Nabi SAW. Setelah itu beliau terus pergi ke rumah tempat Nabi SAW dan sahabatnya berkumpul yang terletak di Bukit Safa untuk berjumpa Rasulullah.

Setelah beliau berdepan dengan Rasulullah, lalu Rasulullah bertanya kepadanya: “Apakah yang membawa kamu datang ke sini wahai Ibnu al-Khattab? Demi Allah Aku melihat ia tidak akan berakhir sehinggalah Allah menurunkan kepada kamu malapetaka.”

Lalu Saidina Umar al-Khattab berkata:  “Wahai Rasulullah, aku datang bertemu kamu untuk beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta apa yang telah diwahyukan daripada Allah.”

Setelah mendengar ikrar keimanan Saidina Umar al-Khattab RA, maka Rasulullah SAW bertakbir kegembiraan dan disebabkan itu sahabat-sahabat Nabi SAW mengetahui bahawa Saidina Umar al-Khattab memeluk Islam.

Kisah ini menggambarkan bahawa selepas  Saidina Umar al-Khattab RA membaca surah Taha, lalu hatinya terpaut dengan keindahan ayat suci tersebut kemudian terus meminta izin untuk berjumpa Nabi SAW dan memeluk Islam.

Ini membuktikan keindahan dan mukjizat al-Quran sebagai  zikrullah  yang dapat melembutkan dan menenangkan hati mereka yang keras. Firman Allah SWT: “Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”  (Surah al-Ra’d, 28)

Berdoa Dan Jampi Guna Ayat al-Quran

Dalam menjawab persoalan ini, menggunakan ayat al-Quran sebagai amalan dan doa sebagai pelembut hati adalah perkara yang diharuskan dalam syarak. Firman Allah SWT: “Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu.” (Surah al-A’raf, 180)

Disebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imran bin Hussain berkata, bahawa sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang membaca al-Quran, maka hendaklah ia meminta kepada Allah dengannya. Sesungguhnya akan datang sesuatu kaum, apabila membaca al-Quran kemudian mereka akan meminta-minta kepada manusia.” (Riwayat al-Tirmizi, No  2917)

Hadis di atas jelas menyebut hendaklah meminta kepada Allah SWT dengan perantaraan al-Quran dalam setiap perkara.

Begitu juga perihal jampi atau  ruqyah  dengan menggunakan ayat al-Quran, ulama berpendapat harus bahkan sunat sekiranya jampi tersebut menggunakan ayat al-Quran nama Allah SWT dengan tujuan untuk mengubati penyakit.

Imam al-Suyuti menukilkan pandangan Ibn al-Tin yang menyatakan: “Jampi dengan  al-Mu’awwizat  dan selainnya dengan menggunakan nama Allah SWT merupakan rawatan ruhani. Begitu juga jika diungkapkan oleh golongan yang salih daripada kalangan makhluk maka mendapat kesembuhan dengan keizinan daripada Allah.”

Jelas pandangan Imam al-Qurtubi berpendapat disunatkan  ruqyah  atau jampi dengan menggunakan ayat al-Quran dan nama-nama Allah seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Suyuti: “Harus  ruqyah  (jampi) dengan menggunakan kalam Allah dan nama-Nya. Bahkan sekiranya ia  ma’thur  (terdapat dalil al-Quran dan sunah) maka ia disunatkan.”

Mengamalkan bacaan surah Taha ayat 1-5 sebagai penawar dan pelembut bagi hati yang keras adalah diharuskan berdasarkan dalil yang mengharuskan berdoa dan jampi menggunakan ayat al-Quran dan nama Allah.

Kisah Saidina Umar al-Khattab yang memeluk Islam ketika mendengar dan membaca surah Taha boleh dijadikan iktibar dan bukti mukjizat al-Quran. Namun tidak ditemui dalil dan nas khusus daripada al-Quran dan hadis yang menyatakan bahawa surah Taha ayat 1-5 merupakan ayat pelembut hati. Wallahu’alam

Sumber: HARIAN METRO