Syahmi Terpaksa Tinggalkan Skuad Harimau Malaya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon terpaksa melepaskan pemain pertahanan, Syahmi Safari susulan masalah kesihatan yang dialami pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.

Pengendali dari Korea Selatan itu menjelaskan keputusan berkenaan dibuat selepas Syahmi dibawa ke hospital untuk ujian perubatan, pagi tadi kerana masalah sinus dialaminya semakin teruk.

Susulan itu, katanya, doktor pakar menasihatkan Syahmi untuk menjalani rawatan susulan dengan segera.

“Kami di barisan kejurulatihan dan pasukan perubatan pasukan yang sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan pemain bersetuju untuk melepaskan Syahmi daripada kem latihan pusat kali ini supaya beliau dapat kembali pada tahap kesihatan terbaik selepas ini.

“Dengan ketiadaan Syahmi, baki 29 pemain lain akan meneruskan kem latihan pusat termasuk bagi menghadapi perlawanan antarabangsa tier 1 bertemu Hong Kong, malam esok dan tiada penambahan pemain baharu buat masa ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, JDT dalam kenyataan menjelaskan Syahmi akan menjalani pembedahan resdung pada Khamis ini.

“Syahmi akan pulang dari tugasan skuad kebangsaan dan dimasukkan ke hospital esok untuk persiapan menjalani pembedahan. Kami doakan agar Syahmi sembuh dengan segera,” kata kenyataan kelab itu.

Sumber: BERITA HARIAN