SEGMEN TERKINI

MANIS MANIS PAGI

6am - 10am

Tak perlu bayar sewa 3 bulan Desa Keluarga

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Kerajaan Terengganu mengecualikan bayaran sewaan bulanan kediaman Desa Keluarga seliaan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) selama tiga bulan berkuat kuasa bulan ini hingga Ogos depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, seramai 830 Ketua Isi Rumah (KIR) menyewa di kediaman Desa Keluarga di Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman.

Katanya, jumlah keseluruhan kadar sewaan kediaman Desa Keluarga diseliakan YPKT yang dikecualikan bayaran selama tiga bulan adalah sebanyak RM309,000.

“Bayaran sewaan yang sudah dijelaskan oleh penghuni akan dibawa ke hadapan sebagai bayaran bulanan untuk bulan September.

“Jika penghuni mempunyai tunggakan sewaan tetapi sudah menjelaskan bayaran sewa untuk bulan ini, kita gunakan untuk pembayaran tunggakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai bayaran balik pinjaman Program Jaya Diri (PJD) membabitkan seramai 2,100 usahawan, Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Chukai berkata, kerajaan bersetuju untuk menangguhkan bayaran pinjaman selama dua bulan mulai bulan ini, membabitkan keseluruhan kutipan berjumlah RM800,000.

Bagaimanapun katanya, YPKT bersedia untuk menerima bayaran dari peserta PJD yang tidak terkesan berikutan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) selama 14 hari berkuat kuasa awal bulan ini seperti diumumkan kerajaan.

“Pengecualian bayaran kediaman Desa Keluarga selama tiga bulan dan penangguhan bayaran balik pinjaman PJD itu diputuskan bagi membantu mengurangkan bebanan kewangan penghuni serta usahawan kecil yang mendapat pembiayaan modal perniagaan daripada YPKT,” katanya.

Sumber: My Metro