
Kuala Lumpur: Malang bertimpa. Itu nasib seorang lelaki warga asing yang bukan sahaja ditahan pihak berkuasa, malah basah lencun selepas memecahkan paip air ketika cuba menyorok.
Dalam kejadian di sebuah pangsapuri lama di Jalan Chow Kit, di sini, awal pagi tadi, lelaki warga Indonesia berusia 30-an itu bertindak memanjat ke celah tangki air sebaik menyedari kehadiran Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Bagaimanapun, tindakan nekadnya memakan diri apabila saluran paip yang dipijaknya patah menyebabkan ruang bilik kediamannya dibanjiri air.
Lelaki itu ketika disoal siasat memberikan alasan takut ditahan kerana tiada dokumen sah.
“Pasport saya dah mati bang. Sorok tadi sebab takut,” katanya dalam keadaan basah kuyup.
Insiden itu berlaku ketika ‘Op Kutip’ dijalankan JIM Kuala Lumpur yang menyerbu kediaman setinggi 19 tingkat berkenaan bermula 12.30 tengah malam.
Selain insiden paip pecah, anggota penguat kuasa terpaksa memecahkan pintu unit kediaman selepas penghuni enggan memberi kerjasama dan berdiam diri walaupun diketuk berkali-kali.
Pemeriksaan lanjut mendapati pelbagai taktik digunakan warga asing untuk meloloskan diri termasuk bersembunyi di sebalik timbunan barang lusuh dan di bawah sinki.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, seramai 79 individu termasuk 23 wanita disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi itu.
Beliau berkata, kesemua mereka berusia lingkungan 17 hingga 55 tahun itu didapati melakukan kesalahan tiada dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa.
“Tangkapan membabitkan 39 warga Indonesia, Bangladesh (25), Nepal (10), masing-masing dua dari India dan Pakistan serta seorang warga Myanmar.
“Kebanyakan mereka bekerja sebagai pengawal keselamatan dan buruh binaan yang tinggal secara beramai-ramai di sini,” katanya.
Menurutnya, keadaan kediaman di lokasi ‘panas’ itu juga sangat daif dan berbau busuk dengan timbunan sampah sarap yang berisiko mengundang penyakit.
Katanya, JIM akan terus melipatgandakan operasi penguatkuasaan secara ‘360 darjah’ tanpa kompromi terhadap PATI mahupun majikan yang melindungi mereka.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama.
Sumber: HarianMetro




