Tangkap Ikan di Sempadan Malaysia-Indonesia Elak Ditangkap

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

CHUKAI – Nelayan Vietnam dikesan menjadikan kawasan sempadan perairan Malaysia dan Indonesia sebagai lokasi baharu mencuri hasil laut negara kerana mudah melepaskan diri daripada ditangkap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Perkara itu terbukti dengan penahanan sebuah bot nelayan Vietnam bersama 21 nelayan termasuk seorang tekong pada kedudukan 108 batu nautika tenggara dari Kuala Kemaman, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim, Rashidilhadi Abd Rashid, berkata bot itu ditahan kira-kira 5.30 petang ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tunda ganding bersama tiga lagi bot nelayan dari negara yang sama.

“Kesemua empat bot itu dikesan mencuri hasil laut negara ketika kami melakukan rondaan bersepadu Op Pagar Laut, Op Kuda Laut dan Op Iman di sekitar perairan negeri Terengganu.

“Menyedari kehadiran kami, kesemua bot terbabit cuba melarikan diri namun sebuah daripadanya berjaya ditahan manakala tiga bot lagi berjaya melarikan diri dan memasuki perairan Indonesia,” katanya ketika ditemui di jeti Maritim Kemaman.

Beliau berkata, itu adalah taktik terbaharu nelayan asing mencuri hasil laut negara pada kedudukan lima hingga 10 batu berhampiran dengan perairan Indonesia kerana mudah menyelamatkan diri daripada ditangkap.

“Kerjasama di antara pihak berkuasa Malaysia dan Vietnam yang memperketatkan kawalan di sempadan perairan dan kawasan pelantar minyak menyebabkan nelayan asing mula menumpukan kawasan selatan Laut China Selatan sebagai lokasi terbaharu untuk menjalankan aktiviti haram itu.

“Hasil tangkapan itu, kesemua nelayan terbabit yang berusia di antara 18 hingga 54 tahun didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan bot terbabit turut tidak mempunyai sebarang permit untuk menangkap ikan di perairan kita,” katanya.

Katanya, selain bot, kira-kira 1,000 liter diesel, dua tan ikan pelbagai jenis dan alatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM1.6 juta turut dirampas.

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan dalam perairan negara tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN