Terengganu mahu Sarawak bantu dalam dasar digitalisasi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUCHING – Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA), sebuah badan kawal selia multimedia Kerajaan Sarawak  telah menarik minat Kerajaan Terengganu untuk membantu  pelaksanaan dasar pendigitalan negeri pantai timur itu.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu Ariffin Deraman berkata memandangkan Sarawak lebih berpengalaman dalam dasar pendigitalannya, mereka berminat untuk mengetahui lebih lanjut daripada SMA dalam melaksanakan dasar itu berikutan penubuhan Terengganu Joint Digital Intelligent Development Sdn Bhd (TAJDID).

“Memandangkan masa lama diambil untuk menggubal undang-undang (Negeri Terengganu), maka kerajaan negeri (Terengganu) telah menubuhkan TAJDID. Kami datang ke sini kerana kami ingin belajar daripada SMA kerana ia mempunyai bajet untuk melaksanakan dasar itu (mengikut Ordinan SMA),” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan dikeluarkan selepas taklimat yang diadakan oleh SMA kepada perwakilan kerajaan Terengganu di Pusat Inovasi Warisan Budaya SMA (CHIC) di sini hari ini.

Ariffin berkata TAJDID juga telah menubuhkan dua anak syarikat iaitu Terengganu Telecommunications Sdn Bhd (TCOMM) untuk membina struktur telekomunikasi di negeri itu dan Terengganu Digital 1303 sebagai perkampungan digital untuk memperkasakan rakyatnya dalam ekonomi digital.

Mengenai isu berkaitan, Ariffin berkata Terengganu berminat untuk bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan Sarawak untuk membangunkan aplikasi mempromosikan produk pelancongan terutamanya dalam ekopelancongan.

“Kami ingin kembali dan berkongsi ilmu dengan rakan sejawatan kami di Sarawak,” tambahnya.

Sumber: BERNAMA