Terengganu Mohon PKPB Ditamatkan Lebih Awal

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Terengganu memohon agar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) negeri ini selama empat minggu yang mula dilaksanakan pada 9 November lalu dapat ditamatkan lebih awal.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau sudah pun mengemukakan alasan penamatan itu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara dalam talian semalam.

Beliau turut membentangkan kedudukan terkini wabak koronavirus (Covid-19) di Terengganu kepada Muhyiddin.

“Sebaik sahaja diumumkan PKPB di seluruh negeri Terengganu, saya telah mengadakan perbincangan di peringkat Majlis Keselamatan Negeri Terengganu bersama agensi-agensi berkaitan. Langkah pencegahan yang dilaksanakan bermula 9 November tentunya memberi kesan kepada seluruh rakyat.

“Untuk memastikan penularan dapat dikawal sebaik mungkin, saya bersama rakan-rakan pentadbiran dan Jabatan Kesihatan Negeri, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan lain-lain telah bekerja keras mencari jalan untuk mengumpul maklumat terkini supaya PKPB di Terengganu dapat ditamatkan,”

Dalam pada itu, Dr Ahmad Samsuri berkata, data kawalan koronavirus (Covid-19) di Terengganu bagi membolehkan PKPB ditamatkan segera sudah dikemukakan kepada Perdana Menteri pada 15 November lalu dan beliau sekali lagi membentangkan kedudukan terkini wabak berkenaan pada Muhyiddin semalam.

Beliau berterima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri yang membawa permohonan Terengganu untuk dipertimbangkan dalam mesyuarat di Putrajaya.

Dr Ahmad Samsuri juga merakamkan penghargaan kepada kepimpinan UMNO Terengganu yang turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan menyuarakan hasrat sama.

“Ini antara contoh kerjasama yang harus terus berlaku untuk kepentingan bersama. Kita akan terus berusaha dan berdoa agar dalam tempoh beberapa hari lagi satu keputusan dapat dibuat, insya-ALLAH,” – SINARHARIAN