Terengganu Turtle Camp 2022 Pupuk Kesedaran Kepentingan Perlindungan Penyu di Kalangan Pelajar IPT

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KEMAMAN – Terengganu Turtle Camp 2022 pupuk kesedaran kepentingan perlindungan penyu daripada kepupusan kepada 30 peserta di Pusat Santuari Penyu Ma’Daerah Kerteh, Terengganu.

Pegawai Konservasi Marin Tabung Alam Sedunia (WWF), Nor Azariyah Mohtar  berkata program ini bertujuan bagi menguar-uarkan kepentingan perwartaan Satuari Penyu di Ma’Daerah ini yang meliputi Bukit Labuhan, Bukit Tengah dan juga kawasan pantai ini.

“Sebab tanpa habitat ini, penyu kita tidak boleh naik dan mendarat dengan baik dan kita akan hilang tempat untuk kita belajar mengenai alam dan impak terhadap ekosistem”, menurutnya lagi.

Selain itu, program ini juga turut memberi peluang kepada peserta tentang pembelajaran dan pendedahan secara terus untuk mengenali haiwan marin ini secara lebih dekat lagi dengan memfokuskan pelbagai aktiviti yang melibatkan komunikasi, alam semula jadi dan kepelbagaian sumber.

Antara aktiviti yang terdapat dalam program ini adalah ceramah tentang pengenalan biologi dan sejarah usaha pemuliharaan penyu di Terengganu, mengenali pejuang konservasi penyu daripada wakil setempat, kembara malam menjejak penyu bertelur, serta kembara hutan Bukit Labohan bagi melihat sendiri keindahan flora dan fauna di sana.

Program yang merupakan anjuran gabungan usahasama WWF-Malaysia, Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) dan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu ini berlangsung selama 3 hari 2 malam.

30 peserta menyertai program ini merupakan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang dipilih daripada Universiti Malaysia Terengganu, UiTM Kampus Dungun, UiTM Kampus Bukit Besi, Insititut dan Pendidikan RANACO serta banyak lagi.

Majlis penutup program tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Azman Ibrahim dan turut dihadiri Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu Ruzaidi Mamat serta Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Sains & Kreativiti Terengganu, Huzairil Ibrahim.

Sumber: UNIT BERITA MANIS FM