SEGMEN TERKINI

MANIS MANIS PAGI

6am - 10am

Terima kasih rakyat Malaysia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Bantuan dan sumbangan terus disalurkan sama ada daripada orang perseorangan atau badan bukan kerajaan (NGO) kepada keluarga warga emas, Fatimah Mohd, 79, yang maut manakala suaminya, Jusoh Mohd, 82, melecur dalam kebakaran rumah mereka di Kampung Losong Haji Su, di sini, Isnin lalu.

Anak ketiga mangsa, Zakaria Jusoh, 56, berkata, dia bersyukur dan terharu dengan keprihatinan dan simpati masyarakat bukan sahaja daripada kalangan penduduk negeri ini.

“Kami berterima kasih kepada orang ramai termasuk kenalan dan jiran yang tidak putus-putus memberi sumbangan dan bantuan, kata-kata semangat, tenaga dan wang ringgit,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Peduli Ummah Terengganu, hari ini.

Menurutnya, selain orang ramai, dia turut mengucapkan terima kasih kepada polis dan bomba di atas pengorbanan mereka bertungkus-lumus memadamkan kebakaran dan membawa keluar mayat ibunya daripada timbunan sisa kebakaran.

Dalam kejadian jam 10.39 pagi itu, Fatimah yang mengalami masalah pinggang dan bergerak dengan bantuan kerusi roda terperangkap manakala Jusoh terselamat berikutan ketika kejadian, dia dikatakan berada di luar rumah.

Bagaimanapun Jusoh yang juga bekas nelayan mengalami kecederaan melecur 50 peratus dipercayai akibat bahang api ketika cuba menyelamatkan isterinya.

Dia yang sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, dilaporkan dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Setiausaha Peduli Ummah Terengganu Syed Abdul Rahman Syed Hassan berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menghulurkan sumbangan menerusi tabung bencana yang dilancarkan badan berkenaan.

“Sebaik dilancarkan, kami tidak putus-putus menerima sumbangan daripada seluruh rakyat Malaysia,” katanya yang ditemui selepas majlis penyerahan replika cek bernilai RM52,700 kepada keluarga Jusoh di lokasi kejadian.

Sumber: My Metro