TFC Direct Buka Satu Lagi Cawangan Baharu Di Lapangan Terbang Sultan Mahmud

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Terengganu FC (TFC) terus mengorak langkah dalam memperkukuh jenama dan sayap komersialnya menerusi pembukaan kedai barangan rasmi terbaharu yang terletak di Tingkat 1, Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Inisiatif ini bertujuan memberi kemudahan kepada penyokong setia, pasukan pelawat serta pelancong untuk mendapatkan pelbagai koleksi eksklusif kelab seperti jersi, topi, mafla dan cenderamata edisi khas di lokasi yang menjadi pintu masuk utama negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai menyifatkan pembukaan cawangan ini sebagai langkah strategik bagi meningkatkan keterlihatan jenama TFC di peringkat yang lebih meluas. Selain memudahkan peminat mendapatkan barangan tulen, usaha ini juga dijangka mampu menyumbang secara positif kepada penjanaan pendapatan kelab melalui pasaran pelancong domestik dan antarabangsa yang melalui lapangan terbang berkenaan.


Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah TFCSB, YB Ustaz Haji Hishamuddin Abdul Karim. Turut hadir memeriahkan majlis adalah barisan pemain serta pegawai pasukan sebagai tanda sokongan terhadap aspirasi kelab dalam memperluaskan jangkauan komersial mereka.


Kedai barangan rasmi ini akan beroperasi setiap hari bermula seawal jam 7 pagi bagi memenuhi keperluan pelanggan. Selain pembelian secara terus di premis, kelab turut memperkenalkan kemudahan pembelian dalam talian dengan pilihan pengambilan barang di lapangan terbang, selari dengan usaha TFC untuk mengukuhkan hubungan bersama penyokong menerusi perkhidmatan yang lebih efisien dan moden.