Tiada Gangguan Bekalan Air Di Daerah Kuala Terengganu Pada Aidilfitri – SATU

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) memberi jaminan tiada lagi masalah gangguan bekalan air berlaku di daerah Kuala Terengganu menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Satu Abdul Karim Endut berkata masalah yang sering dihadapi oleh penduduk daerah itu sejak beberapa tahun lepas kini telah menemukan jalan penyelesaian.

“Satu secara rasminya ingin memaklumkan bahawa sebahagian operasi Loji Rawatan Air (LRA) Losong berkapasiti 20 juta liter sehari (JLH) telah bermula hari ini.

“Dengan bermulanya sebahagian operasi ini, masalah bekalan air yang sering terjadi di Bukit Kecil akan dapat diatasi dalam jangka masa panjang sehingga 2030,” katanya dalam kenyataan hari ini.

LRA Losong mempunyai kapasiti penuh 44 JLH namun memulakan sebahagian operasinya pada kapasiti 20 JLH hari ini untuk memastikan penduduk daerah Kuala Terengganu mendapat bekalan air bersih menjelang perayaan agar urusan harian berjalan lancar.

Dianggarkan sebanyak 6,941 akaun pengguna melibatkan tangki Bukit Kecil dan tangki Panji akan menikmati kemudahan tersebut.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan air boleh melayari laman sesawang www.satuwater.com.my, aplikasi MySATU, Facebook, Instagram atau hubungi careline di talian 1300-88-2111.

Sumber: BERNAMA